Malaysia berhasrat membawa rakyat Palestin yang cedera di negara ini – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa Malaysia berhasrat ingin membawa rakyat Palestin yang cedera ke negara ini bagi menerima rawatan.
Anwar ketika dalam ucapan pidatonya pada Himpunan Pembebasan Palestin semalam berkata ;
“Saya berhubung dengan Presiden (Mesir) Abdel Fattah El-Sisi meminta bantuannya bagi memudahkan bantuan kemanusiaan (ke Palestin) dan sokongan, serta membenarkan kami membawa pulang beberapa wanita dan kanak-kanak Palestin yang cedera untuk dirawat di Malaysia,” kata Anwar.
Beliau juga turut berkata bahawa kerajaan akan menyediakan peruntukan dana khas bagi tujuan berkenaan, selain daripada menzahirkan penghargaan kepada negara-negara yang turut memberi kerjasama bagi melaksanakan misi kemanusiaan itu.
Himpunan Pembebasan Palestin malam semalam diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil dan Anwar dan rakyat Malaysia mengambil peluang ini untuk menunjukkan bahawa Malaysia masih dan akan kekal bersolidariti bersama rakyat Palestin.
Anwar menambah kenyataannya lagi dengan berkata bahawa beliau sudah menghubungi pemimpin dari negara luar seperti Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al-Khalifa, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan serta Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman untuk terus mendukung dan memberi bantuan kepada Palestin.
Dalam masa yang sama, Anwar berkata pembelaan hak, pembebasan dan kemerdekaan Palestin sudah lama diperjuangkan oleh Malaysia, malah ia sebati dalam jiwa rakyat Malaysia.
“Sebab itu kita tak mempedulikan pandangan Barat atau mana-mana negara yang mahu letakkan siapa yang harus kita perjuangkan. Sementara kita berkerjasama dengan semua kelompok termasuk pihak berkuasa Palestin (Presiden Palestin) yakni Mahmoud Abbas, kita tetap mempertahankan hak Hamas sebagai pejuang dalam gerakan membebaskan hak Palestin dan Gaza.” tambahnya lagi.
Anwar juga berharap rakyat Malaysia terutamanya untuk tidak berhenti bicara tentang isu Palestin sehingga mereka merdeka dan ringan-ringankan tangan untuk bersedekah demi kebebasan rakyat Palestin.
SUMBER : BERNAMA







