Berita

AMK gesa siasatan dakwaan penyaluran dana asing

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan penyaluran dana asing kepada individu serta organisasi tempatan yang dikaitkan dengan aktiviti politik.

Dalam satu kenyataan hari ini, AMK memaklumkan pihaknya memandang serius pendedahan berkenaan yang didakwa melibatkan pembiayaan bagi operasi media sosial, propaganda politik serta penganjuran protes jalanan.

Menurut kenyataan itu, laporan yang beredar mendakwa wujud transaksi kewangan daripada sebuah organisasi berpangkalan di Amerika Syarikat, The Tides Foundation, kepada sebuah syarikat tempatan, MANDIRI Development Centre Sdn. Bhd., melibatkan jumlah keseluruhan melebihi RM1.5 juta antara November 2024 hingga Jun 2025.

Selain itu, beberapa transaksi lain turut didakwa melibatkan individu tempatan yang mempunyai kaitan dengan organisasi berkenaan.

AMK menyatakan sekiranya dakwaan tersebut benar, ia boleh memberi implikasi terhadap kestabilan politik, ekonomi serta keyakinan pelabur, selain menimbulkan kebimbangan berkaitan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, AMK menggesa agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan terperinci, bebas dan telus terhadap semua pihak yang terlibat tanpa mengira latar belakang.

Menurut kenyataan tersebut, sebarang pelanggaran undang-undang termasuk unsur pengubahan wang haram atau penyalahgunaan dana asing bagi tujuan politik perlu diambil tindakan mengikut peruntukan sedia ada.

AMK turut menegaskan bahawa rakyat perlu diberikan penjelasan yang jelas berhubung perkara itu, selain tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Related Articles

Back to top button