Berita

Kepimpinan Anwar Bukti Kejayaan Diplomasi Malaysia: Kemboja, Thailand Yakin Hubungan Dapat Dipulihkan

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Krisis sempadan antara Thailand dan Kemboja yang meragut lebih 30 nyawa akhirnya menemui jalan damai hasil inisiatif diplomatik yang digerakkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kejayaan ini bukan sahaja menghentikan pertumpahan darah, malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju keamanan serantau.

Dalam kenyataan bersama selepas menandatangani gencatan senjata tanpa syarat, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menyatakan keyakinan bahawa hubungan dua hala dapat dipulihkan hasil peranan aktif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.

“Malaysia menunjukkan contoh kepimpinan yang matang. Rundingan ini membuktikan bahawa peranan negara sederhana seperti kita amat penting dalam menstabilkan rantau,” kata Hun Manet yang secara terbuka memuji pendekatan Anwar yang inklusif dan berprinsip.

Phumtham pula menekankan bahawa proses pemulihan hubungan ini akan dilakukan secara berfasa, dengan sokongan ASEAN dan komuniti antarabangsa. “Kita telah melalui detik gelap. Tapi kita juga diberi peluang untuk belajar dan membina kepercayaan baru,” katanya dalam sidang media bersama.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menegaskan bahawa ASEAN tidak boleh terus bersikap diam dan tunggu dalam menghadapi konflik. “Keamanan bukan datang dengan sendirinya. Ia menuntut keberanian politik, kesungguhan diplomasi dan kepimpinan yang berani menegur dan membimbing,” tegas beliau.

Pengumuman ini memberi tamparan kepada pihak-pihak tertentu yang selama ini memperlekeh pendekatan diplomatik Malaysia. Di sebalik kekangan geopolitik, Malaysia berjaya memainkan peranan sebagai pendamai tanpa berpihak, dengan sokongan aktif dari China dan Amerika Syarikat.

Gencatan senjata yang mula berkuat kuasa tengah malam ini bukan sahaja menyelamatkan ribuan nyawa, malah menandakan satu kemenangan moral dan politik buat pentadbiran MADANI.

Malaysia kini membuktikan bahawa suara dari Putrajaya bukan lagi sekadar pengikut, tetapi pencorak dasar serantau.

Related Articles

Back to top button