Tragedi kepala air di Bidor, mayat ditemui satu per satu

TAPAH – Polis pada malam semalam mendedahkan tiga beradik kanak-kanak yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh, Bidor, petang tadi adalah Hanna Mikayla, 7; Hafif Muhayat, 4, Hanum Marissa, 2.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi, berkata ketiga-tiga mangsa masih belum ditemui setakat ini, manakala ibu mereka, Aszura Bani, 37, disahkan lemas dengan mayatnya ditemui hanyut 600 meter dari tempat mereka berkelah.
Katanya, tragedi kepala air itu berlaku ketika empat beranak dari Kampung Cegar, Bidor, itu berkelah bersama tiga individu lain yang ditemukan selamat iaitu kakak Aszura, Aslinda, 38, anaknya Muhammad Adam Muhkris Rozi, 11, dan pembantu rumah warga Indonesia yang berusia 30-an.
“Kita menerima maklumat awal kejadian itu pada jam 4.30 petang. Pembantu rumah Aszura ditemukan selamat kerana sempat berpaut pada batu berjarak 100 meter dari kawasan mereka berkelah, manakala kakak dan anak saudara selamat kerana tidak hanyut.
“Usaha mencari tiga kanak-kanak itu giat dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) dan penduduk dalam radius pencarian tiga kilometer tetapi ditangguhkan pada jam 7.30 malam tadi atas faktor keselamatan dan akan disambung pagi esok,” katanya.
PENEMUAN MAYAT PADA JAM 9.50 MALAM (07/02/2024)
Seorang lagi mangsa kejadian kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh, Bidor, di sini ditemukan lemas, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi, berkata mayat mangsa dikenal pasti sebagai Hafif Muhayat Azam, 4, ditemukan pada jam 9.50 malam semalam dengan bantuan penduduk kampung.
“Mayat mangsa ditemukan dalam sungai dengan keadaan mengiring dan tersangkut di bawah akar pokok pada jarak kira-kira 600 meter dari kawasan keluarganya berkelah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Penemuan ini menjadikan jumlah mangsa yang masih hilang kepada dua orang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, malam semalam.
Pengecaman mayat mangsa dilakukan ibu saudaranya, Aznur Radin Mustapha Amiruddin, 51.
Terdahulu, media melaporkan hajat empat beranak untuk berkelah bertukar tragedi apabila ibu, Aszura Bani, 37, ditemukan lemas, manakala tiga anaknya hilang akibat dihanyutkan kepala air ketika beriadah di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh, di sini.
Hafif Muhayat ialah anak kedua daripada tiga cahaya mata Aszura dan suaminya, Azam Radin Mustapha Amiruddin, 47.
Dua lagi anak Aszura yang masih hilang ialah Hanna Mikayla, 7, dan Hanum Marissa, 2.
Tinjauan di lokasi mendapati, seramai 12 penduduk kampung giat melakukan pencarian secara sukarela pada malam ini atas dasar keprihatinan terhadap keluarga mangsa.
PENEMUAN MAYAT PADA JAM 9 PAGI (08/02/2024)
Mayat dua mangsa terakhir tragedi kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh di Bidor di sini, ditemukan pagi ini selepas kira-kira sejam operasi mencari dan menyelamat diteruskan.
Dua mayat disahkan sebagai Hanna Mikayla Azam dan Hanum Marissa Azam masing-masing berusia tujuh dan dua tahun ditemui pasukan penyelamat selang 10 minit, dengan mayat pertama dijumpai jam 9 pagi.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, dengan kedua-dua mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mayat Hana Mikayla dan Hanum Marissa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.
Selain mereka, tiga lagi individu yang turut terbabit terperangkap akibat kejadian sama iaitu kakak kepada Aszura, Aslinda Bani, 38, anak saudara, 11, dan pembantu rumah warga Indonesia berusia lingkungan 30-an ditemukan selamat.
Sementara itu, tinjauan di Unit Forensik Hospital Tapah mendapati lebih 40 ahli keluarga terdekat berkumpul bagi membantu proses pengurusan jenazah.
Suami kepada Aszura, Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46, kelihatan beberapa kali pengsan sebaik jenazah dua anak perempuannya tiba di Unit Forensik hospital berkenaan, pagi ini.
Difahamkan, selepas urusan mandi dan mengkafankan di hospital berkenaan selesai, jenazah empat beranak itu akan dibawa ke Masjid Al-Muhtadin untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor.
Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk keluarga mangsa. Al-Fatihah.
SUMBER : BERITA HARIAN 1, BERITA HARIAN 2, BERITA HARIAN 3




