Pupuk Minat STEM, PM Arah MOSTI Senaraikan 100 Saintis Anjur Program Di Sekolah

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyenaraikan 100 saintis dalam bidang bioteknologi untuk pergi ke 100 sekolah dan menganjurkan program di sana.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut perlu dilakukan bagi meningkatkan minat pelajar kepada Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) yang dilaporkan semakin berkurangan sekarang.


Menurutnya, beliau mencadangkan syarikat besar dan berjaya melakukan perkara sedemikian, meluangkan masa kira-kira dua jam dalam satu sesi yang dilakukan dalam sebulan sekali.
“Saya cadangkan saintis perlu turun ke sekolah, buat program pendidikan dalam bidang tertentu… atau dari syarikat berjaya, contohnya syarikat berstatus BioNexus.
“Itu akan dapat melonjakkan minat pelajar kepada STEM. Kita dapat guna maklumat dari bidang itu dan sampaikan ke peringkat bawah.
“Jangan pandang ringan bab ini kerana kita dapat maklumat, sekolah terutamanya di pinggir bandar dan kawasan luar bandar itu jauh ketinggalan.
“Luangkan sebulan sekali, dua jam begitu, turun ke sekolah dan berikan sedikit pencerahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian National Bioeconomy Showcase 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu yang turut dihadiri Lih Kang.


SUMBER : ASTRO AWANI



