Berita

Ganjaran RM20,000 untuk maklumat tangkap suspek bunuh Zayn Rayyan

SHAH ALAMYayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor menawarkan ganjaran RM20,000 kepada mana-mana pihak yang membantu polis menangkap suspek yang membunuh kanak-kanak autism, Zayn Rayyan.

Datuk Seri A Thaiveegan selaku Timbalan Pengerusi MCPF Selangor berkata pemberian ganjaran itu dibuat melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor dalam usaha membantu menyelesaikan kes pembunuhan kanak-kanak terbabit yang sudah lama tidak diselesaikan.

Untuk pengetahuan tambahan, kes pembunuhan Zayn Rayyan bermula pada 5 dan 6 Disember 2023, tahun lepas. – BACA DISINI

“MCPF Selangor bersedia menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada sesiapa yang boleh membantu memberikan maklumat kepada Polis Selangor untuk menangkap suspek dan dituduh dengan kesalahan itu.

“Ini inisiatif pihak MCPF Selangor yang sudah dipersetujui Pengerusi kami, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.

Timbalan pengerusi MCPF Selangor itu juga pernah menjadi Ketua Polis Pulau Pinang suatu masa ketika dahulu dan beliau menghadiri sidang media semalam yang dipengerusikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Dalam masa yang sama, Hussein berkata, polis setakat ini masih tidak menemui sesuatu yang kukuh untuk menjurus ke arah individu yang terbabit dalam kes pembunuhan kanak-kanak itu.

“Itu kesulitan yang dialami oleh pihak polis, kita tidak jumpa satu keterangan fizikal atau keterangan verbal yang nampak boleh menjurus ke arah satu individu yang melakukan perbuatan ini.

“Walaupun kita sudah cuba dan pelbagai usaha dilakukan, dari awal Disember hingga kini dua bulan lebih kita berada di tempat itu menyiasat dan juga tempat lain yang difikirkan wajar.

“Kita juga menggunakan bantuan teknikal, tetapi masih belum menemui sesuatu yang dapat menjurus ke arah penangkapan individu itu, tetapi polis masih meneruskan usaha mengesan pihak yang melakukannya,” ujar Ketua Polis Selangor itu.

Setakat ini dilaporkan pemeriksaan sebanyak 1,613 unit rumah dijalankan dengan bantuan Polis Kontinjen Selangor, lebih spesifiknya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan pasukan Bukit Aman.

“Polis sudah memeriksa 5,786 individu, 216 kenderaan diperiksa, 17 individu ditangkap dan 243 kenyataan sudah diambil.

“Selain itu, rakaman daripada 15 sistem kamera litar tertutup (CCTV) diperiksa dan 168 item barang kes dipungut di tempat kejadian serta pelbagai tempat lain.

“Sebanyak 262 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada individu, manakala pemeriksaan forensik turut dilakukan ke atas 42 rumah,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, dalam siasatan kes itu juga, polis menggunakan khidmat lapan anjing pengesan unit K9 sebanyak enam kali, selain khidmat bomba, jabatan perhutanan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sama-sama kita mendoakan pembunuh Zayn Rayyan dapat ditemui dan mendapat hukuman yang setimpal supaya keadilan untuk keluarga Zayn Rayyan dapat direalisasikan.

SUMBER : BERITA HARIAN

Related Articles

Back to top button