Berita

Anwar Tegaskan Bahawa Isu Palestin-Israel Bukan Alat Pecah Belah Rakyat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak mempolitikkan isu Palestin-Israel dan mengizinkan isu itu dijadikan alat untuk memecahbelahkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Anwar turut menegaskan bahawa rakyat sepatutnya melihat isu itu dari segi sejarah dan isu kemanusiaan membabitkan penduduk Palestin yang inginkan kemerdekaan daripada penjajahan Israel.

“Saya juga ambil kesempatan untuk menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk melihat ini dari segi kaedah sejarah dan kemanusiaan serta jangan jadikan isu ini yang membedakan sikap kita tentang apa itu kemerdekaan.

“Saya gesa rakan-rakan, kerana ada suara yang anggap kita keras dan bertentangan dengan sikap berkecuali tetapi, ya, (walaupun) Malaysia mendokong prinsip berkecuali tetapi tidak berkecuali dalam soal kezaliman, tidak berkecuali bila ribuan anak-anak dibunuh dan dibom, tidak berkecuali dalam soal keadilan dan kemanusiaan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu perkembangan lawatan kerja Perdana Menteri ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir berhubung dengan serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Menurutnya lagi, isu Palestin sememangnya sangat dekat dengan umat Islam, namun dalam masa yang sama ia melibatkan isu kemanusiaan yang perlu didedahkan kepada rakyat untuk menambah pengetahuan mereka.

“Jadi saya harap kita (dapat) ambil kesempatan ini untuk mendedahkan maklumat kepada rakyat sebab itu saya menyokong gesaan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) supaya menggalakkan pelajar untuk mengikuti perkembangan yang berlaku.

“Tentu kita ada garis panduan, jangan kita seolah-olah galakkan sikap kebencian sesama mereka tetapi pencerahan, kefaham tentang apa yang berlaku, kezaliman, penindasan, dan apa itu perampasan,” jelas beliau.

Sementara itu, mengenai tekanan dan ugutan, Anwar berkata Kementerian Luar menerima tiga ‘demarche‘ (tatatindak) daripada kedutaan Amerika Syarikat pada tarikh 13, 18, dan 30 Oktober lepas, yang meminta negara untuk tidak meneruskan pendirian terutama keengganan Malaysia untuk menganggap Hamas sebagai badan pengganas.

BACA: 3 notis dari Kedutaan Amerika Syarikat, Malaysia masih tegas perjuangkan Palestin – PM Anwar

Anwar berkata, walaubagaimanapun, Malaysia tetap kekal dengan pendirian bebas, menggunakan pertimbangan kemanusiaan dan menganggap pencerobohan adalah suatu tindakan haram di sisi undang-undang dan kaedah antarabangsa.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia turut menyokong cadangan Turkiye dan Arab Saudi untuk mengadakan mesyuarat tergempar Ketua-Ketua Negara Islam bagi membincangkan isu Palestin dengan lebih mendalam lagi.

“Saya telah meminta Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) untuk menghubungi Turkiye dan Arab Saudi untuk menyatakan ada kewajaran untuk adakan sidang tergempar itu yang melibatkan juga negara-negara seperti Brazil, Rusia, dan China yang menyatakan sikap yang agak tegas menentang keganasan Israel,” kata beliau.

Sumber: BERNAMA, BuletinTV3

Related Articles

Back to top button