Malaysia Mengutuk Keras Serangan Bom Di Iran – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan yang telah membunuh lebih 100 nyawa dan mencederakan lebih 200 orang awam lain dalam tragedi pengeboman di bandar Kerman, Iran pada Selasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut sebuah hantaran di laman Facebook beliau pada Khamis, Anwar berkata, Malaysia membantah serta mengutuk kerassebarang bentuk keganasan ke atas mereka (mangsa) yang tidak berdosa.
Dalam masa yang sama, Anwar turut menggesa agar dalang di sebalik keganasan itu segera diheret ke muka pengadilan.
“Malaysia turut berdukacita dan bersolidariti. Malaysia juga menggesa agar dalang aksi ganas ini diheret ke muka pengadilan.
“Di tahun baharu ini Malaysia ingin mengajak dunia untuk ikut membantah budaya ganas dan rakus dan selamatkan kemanusiaan sejagat,” kata Anwar dalam hantaran yang sama.
Tambah Anwar, sudah hampir tiga bulan dunia menyaksikan pembantaian Israel ke atas mereka yang tidak berdosa di Palestin dan (yang terbaharu) di Lubnan pada Selasa yang telah mengorbankan enam orang termasuk empat orang pejuang Hamas.
Anwar juga memberitahu, Malaysia mengutus takziah kepada negara sahabat Republik Islam Iran dan warganya.
Dalam serangan bom ke atas Iran ada Rabu, sekurang-kurangnya 103 orang terbunuh, manakala 188 lagi cedera dalam kejadian letupan berkembar berhampiran kubur komander tentera yang dibunuh, Qasem Soleimani di bandar Kerman, Iran.
Insiden itu disifatkan pegawai kerajaan Iran sebagai serangan pengganas.

Satu daripada dua letupan berlaku disebabkan oleh bom, lapor televisyen kerajaan, dan berlaku pada hari ulang tahun keempat kematian Qasem yang terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) pada empat tahun lepas.
“Letupan pertama berlaku dalam jarak 2,300 kaki (700 meter) dari kubur Soleimani, manakala yang kedua berlaku 0.6 batu (1 kilometer) dari kawasan tersebut semasa pengunjung melawat tapak kubur itu,” lapor agensi berita IRNA.

Sumber: Astro Awani



