AHLI Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R.Ramanan hari ini secara terbuka mendedahkan apa yang disifatkan strategi kotor ahli perniagaan yang dikaitkan dengan isu mafia korporat, Victor Chin untuk mendapat suaka politik di United Kingdom dengan menunjukkan kononnya beliau adalah mangsa.
Pada sidang media di Sungai Buloh hari ini, Menteri Sumber Manusia itu berkata, bagi tujuan tersebut Victor Chin yang kini berada di luar negara sengaja mencipta naratif kotor untuk mencemarkan imej PKR, ahli Parlimen parti itu dan Kerajaan Madani.
‘’Semua itu, ia adalah strategi bagi menunjukkan (kononnya) dia adalah mangsa supaya dia boleh mendapat suaka politik di United Kingdom. Sebab itulah dia salahkan AMLA, dia salahkan SPRM, dia salahkan Bank Negara, dia salahkan polis, dia salahkan semua…Kalau kamu tidak membuat apa-apa kesalahan, pulanglah untuk disiasat. Jangan duduk di luar..buat tuduhan liar untuk memburukkan orang.
‘’Kalau ada bukti tunjukkan bukti. Ini bukan satu gelanggang jenaka, bila anda mahu keluarkan kenyataan macam ni, anda keluarkan sesuka hati anda. Saya telah mengarahkan ahli-ahli PKR khususnya di Sungai Buloh untuk membuat laporan polis, biar polis yang siasat,’’ katanya.
Semalam melalui satu dokumen setebal 40 mukasrat, Victor Chin mendakwa ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan tunai RM10 juta bagi menyelesaikan masalah ahli perniagaan itu.
Victor Chin mendakwa beliau membayar RM9.5 juta kepada ahli Parlimen tersebut pada 18 Oktober tahun lalu dan mengancam akan mendedahkan nama ahli politik itu jika gagal memulangkan wang tersebut menjelang 30 Mac.
Ramanan turut mempersoalkan adakah Victor Chin mahu menjatuhkan kerajaan melalui tuduhan-tuduhan liar seumpama itu.
‘’ Victor Chin sebelum ini kata polis memburunya, kemudian Bank Negara Malaysia (BNM) dan kini mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR pula terlibat. Setiap hari ceritanya berbeza,” katanya.
Sambil menunjukkan gambar Victor Chin dengan individu tertentu dan menyebut beberapa nama syarikat yang menjadi mangsa ahli perniagaan berkenaan, Ramanan mendakwa Victor Chin bukan mafia korporat.
‘’Banyak dakwaan yang dibuat mengatakan beliau adalah korporat mafia.. Saya nak betulkan dia bukan mafia korporat.. Kalau kita baca dalam internet mafia ini ada kod etika dan prinsip, tapi Victor Chin adalah ‘devil corporate’ (syaitan korporat), Dia tidak ada belas ihsan.
”Yang kelakar individu-individu di luar sana, mainkan (menggambarkan) dia ni seperti malaikat,(sedangkan) beribu-ribu orang yang hilang simpanan untuk kelangsungan hidup disebabkan manipulasi saham oleh beliau,’’ katanya.
Ramanan berkata, baru-baru ini ada banyak individu yang mempunyai waran tangkap kembali ke tanah air untuk menghadapi pertuduhan dan bersedia mempertahankan diri di mahkamah.
‘’(Oleh itu) tidak mengapa kalau dia (Victor Chin) masih mahu menganggap dirinya tidak bersalah, (tetapi) berhenti hisap curut di luar negara, balik ke Malaysia…jika betul kamu tidak bersalah. Jangan duduk di luar negara hisap curut dan bersembunyi. (Jangan risau) Negara ini ada undang-undang-undang…tiada apa-apa akan berlaku,’’ katanya.
