Kronologi Afrika Selatan vs. Negara Haram Israel di ICJ (11 dan 12 Januari)

HAGUE, BELANDA – Negara Haram Israel, telah pun diheret ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 11 dan 12 Januari dan yang lalu oleh Afrika Selatan yang mendakwa bahawa pihak kerajaan dan ketenteraan negara haram itu mempunyai niat untuk pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Palestin.
Ini merupakan kronologi perbicaraan kes tersebut, setakat 15 Januari, hari ini.
29 Disember 2023 – Afrika Selatan Bersuara
Dalam argumen sebanyak 84 halaman kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Afrika Selatan mendakwa negara haram Israel terlibat dalam jenayah pembunuhan besar-besaran terhadap penduduk Palestin.
Afrika Selatan turut menyatakan, terdapat 9 kewajipan di bawah Konvensyen Genosid yang telah dilanggar oleh negara haram Israel ;
- Melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza
- Kegagalan untuk menghalang pembunuhan beramai-ramai dari terjadi
- Berpakat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai
- Hasutan secara langsung dan awam untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai
- Mencuba untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai
- Bersubahat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai
- Kegagalan untuk menghukum warga Israel yang melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai
- Kegagalan untuk menggubal undang-undang yang diperlukan untuk memastikan ada kesan dibawah Provisi Konvensyen Genosid dan kegagalan untuk menyediakan denda kepada orang yang melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai dan berkaitan.
- Kegagalan untuk memberi keizinan dan/atau menghalang penyiasatan oleh Badan Antarabangsa atau misi mencari fakta tentang pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
Israel menolak dengan marah tuduhan ini setelah jurucakap kerajaan, Eylon Levy, menyatakan bahawa mereka akan menolak hujah-hujah yang dikemukakan oleh Afrika Selatan, yang dianggap sebagai tuduhan yang tidak berasas.
Perdana Menteri negara Haram Israel, Benjamin Netanyahu, turut juga menafikan pihaknya terbabit dengan jenayah pembunuhan beramai-ramai dan membuat penipuan sekali lagi dengan menuduh Hamas sebagai dalangnya.
“Tidak, Afrika Selatan. Kami bukan datang untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai, tetapi Hamas,” ujarnya.
Penipuan mereka sudah lama terserlah dan menurut data Kementerian Kesihatan Gaza, serangan tentera Israel ke atas wilayah berkenaan yang bermula 7 Oktober lalu, membunuh sekurang-kurangnya lebih 23,000 orang.
PBB menganggarkan sebanyak 1.9 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dengan kebimbangan semakin meluap-luap akan berlaku krisis kebuluran dan penyakit.
11 Januari 2024 – Pembentangan Afrika Selatan di ICJ
Pada 11 Januari yang lepas, Afrika Selatan telah mengemukakan tuduhan terhadap Israel, mendakwa negara haram tersebut terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Mereka juga memohon kepada tribunal untuk mendesak rejim Tel Aviv menghentikan segera operasi ketenteraannya yang kini sudah berlangsung selama empat bulan di kawasan Genting Gaza.
Walau bagaimanapun, sekutu kuat Amerika Syarikat menolak tuntutan ini, menggambarkannya sebagai ‘tidak masuk akal’, dan berjanji untuk menyampaikan hujah pembelaan pada Jumaat.
“Menteri Kehakiman, Ronald Lamola, menyatakan bahawa serangan balas Israel pada 7 Oktober lalu melanggar garisan dan melanggar komitmen di bawah konvensyen yang ditandatangani pada 1948,” kata beliau.
Operasi ketenteraan Israel yang kejam selama lebih tiga bulan terakhir dikatakan telah menyebabkan kehilangan sekurang-kurangnya 23,357 nyawa. Peguam terkemuka Afrika Selatan, Adila Hassim, berpendapat bahawa operasi tersebut bertujuan untuk meruntuhkan kehidupan penduduk Palestin dan membawa mereka ke tepi kebuluran.
“Jenayah genosid itu tidak pernah disahkan, namun mahkamah ini boleh melihat kepada bukti sejak 13 minggu lalu yang sememangnya tidak dapat dipertikaikan dan menunjukkan tindakan kejam pembunuhan beramai-ramai secara jelas,” jelasnya dan pembentangan bukti-bukti pembunuhan itu telah dibentang dengan baik oleh Adila Hassim.
Afrika Selatan telah menjadi penyokong kuat tuntutan penduduk Palestin malah parti pemerintah, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) mengaitkannya dengan perjuangan mereka yang menentang dasar aparteid.
Bekas Perdana Menteri Afrika Selatan, Nelson Mandela juga pernah berkata dahulu, “Kita sudah tahu kebebasan kita (Afrika Selatan) tidak lengkap sekiranya rakyat Palestin tidak bebas”.
Klik disini untuk melihat pembentangan penuh Afrika Selatan di ICJ.
12 Januari – Respons negara haram Israel di ICJ
Pada 12 Januari, yang merupakan hari kedua perbicaraan dengan giliran pihak negara haram Israel memberikan respons terhadap tuduhan Afrika Selatan.
Rejim Zionis tersebut cuba mempertahankan serangannya ke Gaza dengan alasan mempertahankan diri dan melakukan serangan balas selepas diserang oleh pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023.
Pasukan pembelaan Israel di bawah pimpinan penasihat kepada Kementerian Luar Israel, Tal Becker, menafikan sepenuhnya tuduhan yang dibawa oleh Afrika Selatan, khususnya dakwaan pembunuhan beramai-ramai atau genosid, dengan menyatakan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas.
Pemerhati perbicaraan menilai bahawa walaupun pembelaan Israel bermula dengan kelemahan, mereka telah membawa dua perkara penting untuk membantah tuduhan tersebut.
Pasukan pembelaan Israel menyatakan bahawa mahkamah perlu membuktikan niat rejim Zionis, di bawah pimpinan Benjamin Netanyahu, untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai, mengikut kriteria Konvensyen Genosid 1948, sebagaimana yang berlaku dalam peristiwa Holocaust.
Di samping itu, mereka juga mendakwa bahawa tidak ada bukti awal yang kukuh terhadap tuduhan Afrika Selatan, kerana negara tersebut tidak mengambil langkah yang sepatutnya untuk menyelesaikan konflik atau perselisihan pendapat dengan Israel.
Seorang peguam Mahkamah Tinggi Afrika Selatan, Tembeka Ngcukaitobi berkata bahawa niat pembunuhan beramai-ramai oleh Israel sudah jelas dengan cara serangan pihak ketenteraanya terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Klik disini untuk melihat respons penuh Negara Haram Israel di ICJ.
Kesimpulan
Perbicaraan berlangsung di hadapan 15 hakim yang datang dari pelbagai negara, diketuai Presiden ICJ, Joan Donoghue, dan mereka turut disertai dua lagi hakim masing-masing dari Afrika Selatan dan Isreal, iaitu Dikgang Moseneke dan Aharon Barak.
Malaysia merupakan salah satu negara yang menyokong dan menyambut baik tindakan Afrika Selatan, yang turut mendesak Israel menghormati undang-undang antarabangsa dan menamatkan kekejamannya terhadap rakyat Palestin serta-merta.
Sama-sama kita doakan supaya keadilan berpihak kepada rakyat Palestin yang tertindas di Gaza dan hukuman yang setimpal dikenakan terhadap negara haram Israel.
SUMBER : SINAR HARIAN 1, SINAR HARIAN 2, YOUTUBE UN






