Sukan

Kemenangan Harimau Malaya tidak cukup untuk ke Piala Dunia 2026

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya menghidupkan sisa-sisa perjuangan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila bangkit menewaskan Taiwan 3-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam namun ia tidak mencukupi untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Selepas kemenangan skuad negara semalam, mereka berkongsi 10 mata bersama pasukan tangga kedua Kumpulan D, Kyrgyzstan dan terpaksa berharap pasukan Oman membelasah mereka dengan tujuh gol untuk melayakkan Malaysia ke peringkat seterusnya.

Namun, selepas Oman hanya mendapatkan keputusan seri 1-1 dengan Kyrgyzstan maka punahlah harapan skuad Malaysia untuk mara ke pusingan ketiga.

Pada perlawanan malam semalam, Harimau Malaya yang membawa misi untuk meraih kemenangan besar dikejutkan dengan jaringan pembukaan Taiwan pada minit ke-20 menerusi Yu Yao Hsing yang menyudahkan umpanan Kouame Angel Samuel.

Harimau Malaya mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan empat minit selepas itu, tetapi rembatan Safawi Rasid di dalam kotak penalti sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Taiwan.

Malah, beberapa peluang terbaik yang hadir di penghujung babak pertama juga gagal dimanfaatkan jentera serangan skuad negara untuk menghasilkan jaringan penyamaan.

Dilihat persembahan skuad Harimau Malaya di babak pertama kurang “clinical” terutamanya di bahagian serangan.

Harimau Malaya akhirnya memecah kebuntuan jaringan lapan minit selepas bersambung babak kedua apabila rembatan jarak jauh Safawi gagal di selamatkan penjaga gol Taiwan, Pan Wen Chieh.

Usaha keras anak buah Pan Gon terus membuahkan hasil dengan Paulo Josue meletakkan skuad negara di depan pada minit ke-69 sebelum pemain gantian, Adib Ra’op mengesahkan kemenangan Harimau Malaya apabila meledak gol ketiga pada masa kecederaan.

Kegagalan skuad bimbingan Kim Pan Gon menamatkan saingan dalam kelompok dua teratas pusingan kedua kelayakan membuatkan mereka terlepas slot automatik ke Piala Asia 2027 dan perlu berentap pada pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

SUMBER : BERITA HARIAN , BERITA HARIAN 2

Related Articles

Back to top button