Berita

Sering Dimarahi Pelanggan, Tag Bertulis “Maaf Saya OKU” Terpaksa Dipakai

KOTA BHARU – Kerap dimarahi dan dimaki hamun, seorang pekerja kedai makan malah pernah dipukul pelanggan apabila berlaku silap faham ketika mengambil pesanan.

Insiden itu dialami seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam, Che Mohd Fadil Che Abdul Rahman, 42, sepanjang lapan tahun bekerja di sebuah premis kedai makan di Jalan Dusun Muda, di sini.

Bertitik tolak daripada pelbagai kejadian tidak diingini itulah, Che Mohd Fadil atua lebih mesra dipanggil sebagai Pakdo terpaksa memakai tanda nama bertulis ‘Maaf Saya OKU’ yang disemat pada bajunya. Begitupun, Pakdo berkata sehingga kini, masih ada berlaku insiden yang lebih kurang sama terhadapnya.

“Tugas saya adalah untuk mengambil pesanan, dan jika berlaku banyak kekeliruan ketika membuat pesanan atau terlalu banyak arahan, saya akan jadi tertekan.

“Walaupun begitu, ramai juga pelanggan yang bertimbang rasa, malah sejak saya memakai tanda nama ini, semakin kurang aduan diterima majikan berkenaan saya kerana pelanggan tahu kekurangan saya,” katanya ketika ditemui di tempat kerjanya, di sini.

Pakdo berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat penghantar barang dan selepas tamat kontrak, dia mencuba nasib di kedai makan itu dan terus diterima.

Katanya, secara luarannya, dia kelihatan normal namun lama-kelamaan majikan mengesan kekurangannya tetapi tidak membuang kerja, sebaliknya terus memberi peluang meneruskan kerja di premis berkenaan.

Majikannya, Wan Marnizena Najib, 48, menyifatkan Che Mohd Fadil sebagai seorang yang sangat rajin walaupun sesekali datang ‘anginnya’ jika berlaku suasana yang tegang atau mengelirukan.

“Pada awalnya, Pakdo hanya ditugaskan sebagai pencuci pinggan, selepas lama di sini, dia meminta diberi peluang membuat kerja mengambil pesanan.

“Terlalu kerap kesilapan dibuat sama ada tersalah mengambil pesanan atau berpunca dari sikapnya sendiri yang kadangkala ‘moody’ sehingga membuatkan pelanggan silap faham. Namun selepas dipakaikan tanda nama itu, semakin kurang aduan diterima mengenai Pakdo,” katanya.

Pengalaman berbeza dialami seorang lagi pekerja OKU fizikal, Muhammad Fahmi Amran, 26, yang sering menjadi perhatian pelanggan kerana menyangkakan dia kanak-kanak.

Dengan ketinggian 110 sentimeter (cm), Muhammaf Fahmi yang sudah empat tahun bekerja di premis kedai makan di Kubang Kerian, cekap membuat kerja sama seperti rakan sekerja lain.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, sebelum bekerja di premis terbabit, dia sering terfikir nasibnya dan mungkin tiada yang akan mahu mengambilnya bekerja, namun nasibnya berubah sebaik diterima bekerja.

“Sejak hari pertama bekerja, saya menjadi perhatian pelanggan malah sentiasa diajukan soalan mengenai umur dan sebaik memberitahu jawapan, mereka terkejut dan beri sokongan moral.

“Saya tidak pernah rasa rendah diri dan di tempat kerja juga, saya dilayan sama rata malah saya diberi tugas untuk mengambil pesanan serta membuat minuman,” katanya gaji antara RM60 hingga RM70 sehari.

SUMBER: BERITA HARIAN

Related Articles

Back to top button