Insentif Tunai RM100: Kerajaan Akui Peranan Penting M40 Dalam Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pemberian insentif tunai tambahan RM100 kepada rakyat Malaysia baru-baru ini dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam memperluas jaringan bantuan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40), selain fokus kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40).
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, insentif tersebut menunjukkan komitmen kerajaan menyeimbangkan dasar sosial bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat perhatian sewajarnya.
“Selama ini, M40 sering dianggap mampu berdikari, tetapi hakikatnya mereka turut terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi. Bantuan kepada mereka sering kali tidak begitu menonjol berbanding B40,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut menyambut baik peluasan bantuan tunai bersifat ‘one-off’ seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang kini turut merangkumi sebahagian kumpulan M40, terutamanya mereka yang mempunyai tanggungan ramai.
Menurutnya, langkah tersebut adalah pengiktirafan terhadap peranan penting kelas pertengahan sebagai nadi penggerak ekonomi negara.
“Insentif sebegini bukan sekadar mengurangkan beban kewangan secara sementara, malah memberi isyarat jelas bahawa kerajaan menghargai sumbangan M40 dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Dr. Umi Hamidaton menjelaskan, M40 merupakan pemacu utama permintaan domestik kerana mereka memiliki pendapatan boleh guna (disposable income) yang lebih tinggi berbanding B40.
“Menjaga kestabilan kuasa beli golongan ini penting untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara. Ini seiring dengan strategi jangka panjang kerajaan dalam memperkukuh kedudukan kelas pertengahan,” jelasnya.
Beliau menambah, meskipun insentif RM100 bersifat sementara, ia mencerminkan usaha kerajaan ke arah dasar bantuan yang lebih inklusif dan realistik.
“Ini merupakan satu anjakan pendekatan kerajaan yang kini menilai beban kos sara hidup secara menyeluruh merentasi semua kelompok pendapatan,” ujarnya.



