BisnesEkonomi

Prestasi Ekonomi Malaysia 2024: Pemulihan kukuh dan manfaat kepada rakyat

MALAYSIA mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus pada tahun 2024, menandakan pemulihan ekonomi yang kukuh pasca pandemik.

Peningkatan ini didorong oleh pelaburan yang mampan, penggunaan domestik yang meningkat serta pemulihan sektor utama seperti perkhidmatan dan pembinaan.

Timbalan Dekan (Pembangunan), Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Univeristi Malaya, Dr. Goh Lim Thye berkata, pertumbuhan ini bukan sekadar kesan pemulihan, tetapi mencerminkan asas ekonomi yang semakin stabil.

“Peningkatan pelaburan tetap kasar (GFCF) sebanyak 12.0 peratus kadar tertinggi dalam 12 tahun, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

“Sektor swasta berkembang 12.7 peratus, sementara sektor awam mencatat pertumbuhan 10.0 peratus, mencerminkan sokongan dasar kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur dan perniagaan,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, terdapat beberapa sektor utama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Antaranya sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK.

“Sektor ini berkembang sebanyak 5.4 peratus, didorong oleh peningkatan dalam perdagangan borong dan runcit (+4.4 peratus), pengangkutan dan penyimpanan (+10.7 peratus) serta sektor kewangan dan insurans (+5.3 peratus).

“Sementara itu, sektor pembinaan melonjak 17.5 peratus dengan pertumbuhan ketara dalam pembangunan bangunan kediaman (+30.3 peratus), bangunan bukan kediaman (+23.9 pertus) serta aktiviti pembinaan khusus (+23.6 peratus).

“Peningkatan dalam sektor pembinaan menunjukkan pemulihan industri hartanah dan pelaburan dalam infrastruktur yang memberi impak besar kepada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat,” kata Dr. Goh.

Selain itu, penggunaan domestik turut menjadi pemacu utama, dengan penggunaan swasta meningkat 5.1 peratus.

Perbelanjaan pengguna meningkat dalam kategori pengangkutan, restoran dan hotel serta makanan dan minuman.

“Ia melambangkan keyakinan rakyat terhadap ekonomi. Perbelanjaan kerajaan juga berkembang 4.7 peratus, khususnya dalam sektor perkhidmatan awam dan pembangunan infrastruktur,” jelas beliau.

Dr. Goh memberitahu, pertumbuhan ekonomi ini memberi manfaat langsung kepada rakyat terutamanya golongan B40 dan M40.

“Peningkatan sektor pembinaan dan perkhidmatan membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Ini memberi kesan positif kepada pendapatan isi rumah dan kuasa beli rakyat,” ujarnya.

Selain itu, pemulihan eksport turut menjadi pemangkin utama dengan peningkatan sebanyak 8.5 peratus berbanding penurunan -8.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Eksport barangan seperti elektrik dan elektronik (+7.3 peratus), produk kimia dan plastik (+3.2 peratus) serta minyak sawit dan makanan (+6.6 peratus) membantu mengukuhkan perdagangan antarabangsa Malaysia.

Namun begitu katanya, masih terdapat cabaran yang perlu dihadapi.

Sebagai contoh, sektor pertanian mencatatkan penyusutan sebanyak -0.5 peratus pada suku keempat 2024 yang boleh memberi kesan kepada pendapatan petani kecil.

“Walaupun secara keseluruhannya pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah positif, kita perlu memastikan ia lebih inklusif dan tidak hanya tertumpu kepada sektor tertentu sahaja,” kata Dr. Goh.

Jelas beliau lagi, meskipun pertumbuhan ekonomi yang pesat boleh mencetuskan tekanan inflasi, kadar inflasi Malaysia kekal terkawal pada 1.8 peratus pada tahun 2024.

Langkah-langkah seperti subsidi bersasar dan bantuan tunai oleh kerajaan membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup bagi golongan berpendapatan rendah.

“Dasar kawalan harga dan subsidi kerajaan berjaya menstabilkan harga barang keperluan, terutamanya makanan dan bahan api.

“Namun, dalam jangka panjang, kita perlu bergantung kepada pelaburan dalam sektor pertanian dan teknologi untuk mengurangkan pergantungan kepada import serta memastikan harga makanan kekal stabil,” jelasnya.

Dengan pertumbuhan yang mampan, Malaysia dijangka terus mencatatkan prestasi ekonomi yang kukuh.

Bagaimanapun, bagi memastikan pertumbuhan ini inklusif, kerajaan perlu memperkukuhkan program kebajikan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Skim Bantuan Rentas (SARA) selain meningkatkan pelaburan dalam pendidikan dan latihan vokasional bagi melahirkan tenaga kerja mahir.

“Malaysia berada pada landasan yang betul, tetapi cabaran seperti kelembapan global dan ketidaktentuan geopolitik perlu diberi perhatian.

“Dengan dasar yang betul, kita boleh memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” kata Dr. Goh menutup bicara.

Related Articles

Back to top button