Portal Hello

KDN kecam ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap disiarkan Sin Chew Daily

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius serta melahirkan rasa kesal terhadap tindakan akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew Daily yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit di muka depannya pada keluaran 15 April 2025.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan KDN hari ini, tindakan pihak akhbar tersebut disifatkan sebagai suatu kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku dan telah mencetuskan reaksi awam kerana melibatkan simbol rasmi negara.

“KDN telah memulakan siasatan berdasarkan dua perundangan berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301],” jelas kenyataan itu.

KDN menegaskan bahawa simbol bulan sabit pada Jalur Gemilang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan sebarang pengabaian terhadap elemen itu boleh dianggap sebagai satu bentuk kecuaian yang serius.

“Tindakan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol tersebut bukan sahaja mencerminkan kelemahan profesionalisme, tetapi juga berpotensi menjejaskan keharmonian antara masyarakat majmuk,” tambah kenyataan itu lagi.

Jalur Gemilang menurut kementerian itu bukan sekadar lambang biasa, tetapi mewakili kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara yang diiktiraf melalui undang-undang.

KDN turut menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian dalam penerbitan bahan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam serta tindakan tegas boleh diambil berdasarkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

Ekoran insiden berkenaan, pihak Sin Chew Daily telah dipanggil hari ini bagi tujuan siasatan serta penyerahan surat tunjuk sebab.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan ketenteraman awam, KDN memberi jaminan akan terus mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Exit mobile version