
PUTRAJAYA – Jemaah Menteri akan membincangkan semula kedudukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sama ada diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) atau Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri di Kompleks Kementerian Komunikasi, pada Rabu.

“MITRA, ada perbincangan yang akan diadakan selepas Menteri Perpaduan Negara mendapat maklum balas daripada orang ramai dan pihak berkepentingan. Perdana Menteri sudah bersetuju untuk membincangkannya semula,” katanya pada sidang media, di sini, pada Rabu.
Pada 23 Disember tahun lalu, Anwar mengumumkan MITRA akan diletakkan semula di bawah KPN dan memberi jaminan bahawa beliau akan sentiasa memantau unit khas itu yang bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.
BACA Lagi: Senarai Penuh Kabinet Kerajaan Perpaduan
BACA Lagi: 5 Menteri, 5 Timbalan Menteri Baharu Dilantik Dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan
MITRA pada asalnya dikenali sebagai unit khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) yang ditubuhkan pada 2014 sebelum dijenamakan semula sebagai MITRA pada 2018.
Ia diletakkan di bawah KPN namun pada September 2022 ia dipindahkan di bawah seliaan JPM.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut bersetuju supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kekal bersama Kementerian Komunikasi manakala Unit Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Digital Nasional Berhad (DNB), CyberSecurity dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dipindahkan ke Kementerian Digital.
“MIMOS, sebelum ini dimaklumkan di bawah JPM, dikembalikan kepada MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) bagaimanapun fungsi MyDigital ID kekal di bawah JPM buat sementara waktu, manakala selepas dibangunkan sepenuhnya nanti, akan dikelola oleh Kementerian Digital.”
“Bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang sebelum ini di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan diletakkan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam manakala Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) kekal dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet turut menegaskan supaya semua Jemaah Menteri mengamalkan konsep bekerja sebagai satu pasukan terutama ketika menjawab persoalan dibangkitkan di Parlimen.
“Sebagai contoh bagi isu hal ehwal Sabah dan Sarawak, yang akan menjawabnya adalah Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri). Sekiranya beliau tidak boleh menjawab atau tidak berada di Parlimen, maka akan dijawab Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, (Datuk Ewon Benedick).”
“Jika beliau tidak ada, akan dijawab oleh Menteri Perpaduan (Datuk Aaron Ago Dagang). Jika ketiga-tiga menteri tidak ada, maka timbalan kepada Fadillah (Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir) akan menjawab,” katanya.
Berkaitan isu bencana pula, Fahmi memaklumkan, ia dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, namun sekiranya beliau tiada, tanggungjawab itu akan diambil alih oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Katanya, bagi isu FELDA, Jemaah Menteri memutuskan supaya ia dijawab oleh Ahmad Zahid.
“Sebelum ini isu FELDA dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tetapi mesyuarat hari ini memutuskan supaya ia dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid).”
“Sekiranya beliau tidak berada di Parlimen atau tidak dapat menjawab, (isu FELDA) akan dijawab oleh timbalan beliau (Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkaitan kes tuntutan kumpulan Sulu.
Semalam, Azalina dilaporkan berkata Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Madrid yang mendapati penimbang tara ‘tidak beretika’ Dr Gonzalo Stampa bersalah menghina mahkamah, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan menyifatkan ia sebagai kejayaan penting prinsip kedaulatan undang-undang.
“Ini adalah satu kejayaan yang besar dan ada beberapa langkah lagi di beberapa negara yang lain termasuk di Perancis, dan akan ada mungkin pengumuman susulan daripada menteri berkaitan khusus berkenaan isu ini,” kata Fahmi.
Tonton video penuh kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sidang media di Kompleks Kementerian Komunikasi, pada Rabu.
Sumber: Buletin TV3, Astro Awani



