Kenyataan “rumah pelacur” oleh Dato’ Rosyam Nor dikecam ramai

PETALING JAYA – Sejak dua menjak ini, terdapat isu panas yang tular berkenaan satu kenyataan pelakon terkenal, Dato’ Rosyam Nor berkenaan Malaysia patut wujudkan “rumah pelacur” untuk warga asing untuk mengelakkan kes rogol diantara rakyat Malaysia dan warga atau pendatang asing.
Kenyataan itu disebut dalam sebuah podcast “Hitam Putih Kehidupan” yang telah dimuat naik secara klip di Tiktok dan secara penuh di saluran Youtube “Suhan Channel & Usanita”.
Dalam video tersebut, Rosyam Nor menyebut bahawa terlalu ramai pendatang asing yang datang dalam negara sama ada sementara ataupun tujuan bekerja dan menyatakan yang majoriti dari mereka adalah lelaki, dan dari situlah munculnya kenyataan yang rumah pelacuran itu perlu untuk mengelakkan mereka dari terbabit dalam kes rogol berkait dengan rakyat Malaysia.
Sejurus selepas klip video itu dimuat naik, ia mendapat banyak perhatian dari netizen, media dan juga menteri.
Reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar mengecam cadangan pelakon popular Rosyam Nor supaya rumah pelacuran dibuka khusus untuk pekerja asing, sambil menambah ia tidak boleh diterima sama sekali dan wajar ditolak oleh semua pihak.
Dalam mencari penyelesaian, tegasnya, kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan lain, sambil menambah saranan Rosyam itu jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah malah melanggar prinsip ajaran Islam.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan polemik mahupun isu yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Reaksi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri turut mengecam kenyataan pelakon terkenal itu.
Beliau menyifatkan kenyataan Rosyam Nor ibarat menganggap kaum hawa sebagai alat untuk menyelesaikan masalah sosial dan merendahkan martabat wanita di Malaysia.
Tegasnya, cadangan atau gurauan tidak sensitif terhadap wanita tidak boleh menjadi kelazaman apatah lagi jika bercanggah dari sudut agama, undang-undang dan nilai kekeluargaan.
“Saya percaya rakyat Malaysia berilmu dan bertamadun, kita perlu bertindak dengan lebih baik dan bijak di masa hadapan terutamanya menonjolkan contoh terpuji kepada generasi akan datang,” katanya.
Reaksi Menteri Komunikasi
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, kerajaan juga tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cadangan yang akan membawa kemudaratan.
“Saya bersetuju dengan pandangan Menteri Agama (Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar). Kita tidak boleh layan perkara seperti ini.
“Saya rasa ada kekhilafan dalam pandangan di pihak Datuk Rosyam Nor. Kita kena ikut peraturan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di Putrajaya pada Selasa.
SUMBER : SINAR HARIAN, FREEMALAYSIATODAY






