Berita

Malaysia Teguh Pimpin ASEAN, Redakan Konflik Myanmar – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kejayaan ASEAN dalam meredakan ketegangan di Myanmar membuktikan kekuatan diplomasi serantau dan komitmen Malaysia sebagai pemacu keamanan di rantau ini.

Menurut beliau, walaupun Myanmar berdepan perang saudara yang berlarutan, situasi terkini menunjukkan perkembangan positif berikutan kesungguhan ASEAN menggerakkan rundingan damai secara konsisten.

“Keadaan di Myanmar hari ini jauh lebih baik berbanding sebelumnya kerana usaha berterusan ASEAN, termasuk peranan aktif Malaysia. Pihak bertelagah di Myanmar juga menunjukkan kesediaan untuk terus berbincang dan bekerjasama di bawah semangat ASEAN,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar menegaskan, Malaysia akan terus mendukung agenda keamanan dan kestabilan rantau, selari dengan prinsip ASEAN yang menolak keganasan serta mengutamakan penyelesaian melalui diplomasi.

“Peranan kita bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi pemacu utama yang memastikan suara ASEAN dihormati dan keamanan dapat dicapai tanpa pertumpahan darah,” ujar beliau.

Kejayaan ini, tambah Anwar, memberi isyarat jelas bahawa gabungan kekuatan politik, diplomasi dan perpaduan serantau mampu menangani krisis yang paling kompleks sekalipun.

Langkah proaktif Malaysia ini juga memperkukuh imej negara sebagai kuasa sederhana yang berprinsip, menjunjung keamanan dan bersedia memimpin usaha kolektif bagi memastikan ASEAN terus menjadi rantau yang stabil, aman dan disegani di peringkat global.

Related Articles

Back to top button