Perjuangan Malaysia mencari pingat emas, diteruskan ! – Olimpik Paris 2024

Acara Berbasikal
Jaguh berbasikal trek negara yang terulung, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menamatkan acara pecut malam semalam pada pusingan 1/8 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.
Beliau tidak ke suku akhir selepas menduduki tempat ketiga dalam pusingan repechages 1/8, ditinggalkan 0.190 saat di belakang Mateusz Rudyk dari Poland yang mencatatkan rekod 9.966 saat, manakala tempat kedua diduduki oleh Mikhail Yakovlev dari negara haram Israel yang sepatutnya tidak dibenarkan bertanding di Olimpik.
Terdahulu, Azizulhasni Awang yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman terpaksa beraksi dalam repechage selepas tewas kepada Jeffrey Hoogkland (9.772 saat) dari Belanda dengan ketinggalan +0.037 saat pada saringan 6 pusingan 1/8.
Mohd Azizulhasni memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 9.402 saat untuk menduduki tempat ke-10 pusingan kelayakan, mengatasi rekod 9.523 saat yang dilakukannya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai tahun lepas.
Seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom juga tidak mara ke pusingan 1/16 selepas menghadapi cabaran sukar dari Yakolev di pusingan 1/32 acara berkenaan.
Muhammad Shah kemudiannya turut gagal menebus kekecewaan di pusingan repechage 1/32 apabila skeadar menduduki tempat kedua dalam saringan ketiga dibelakang pelumba Lithuania, Vasilijus Lendel yang mara ke pusingan 1/16.
Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus seterusnya akan turun beraksi dalam acara utama, keirin bermula Sabtu ini, manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akan beraksi dalam acara pecut wanita bermula Jumaat.
Acara Angkat Berat
Mohamad Aniq Kasdan yang mewakili Malaysia dalam acara angkat berat kategori 61kg lelaki meluahkan rasa kecewa beliau apabila terlepas peluang menaiki podium kerana perbezaan 1kg dari tempat ketiga.
Atlet yang berusia 20 tahun itu berkata bahawa beliau membuat percaturan untuk memburu pingat dengan bebanan 174 kg pada percubaan kedua dan ketiga clean & jerk, namun tidak dapat disempurnakan dengan baik.
Mohamad Aniq walau bagaimanapun menamatkan saingan di Olimpik di tempat keempat dengan catatan rekod kebangsaan baharunya iaitu angkatan keseluruhan sebanyak 297kg, 1kg lebih dari rekod sebelumnya.
Li Fabin dari China mempertahankan pingat emas dengan jumlah angkatan 310kg (143kg OR, 167kg)) manakala perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Theerapong Silachai dari Thailand dengan muatan 303kg (132kg, 171kg) dan wakil Amerika Syarikat Hampton Morris dengan angkatan 298kg (126kg, 172kg).
Acara Papan Anjal
Penerjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri mengesahkan slot beliau ke separuh akhir acara 3 meter papan anjal wanita semalam.
Beliau yang baru sahaja berusia 25 tahun itu memulakan terjunan dengan cemerlang pada dua terjunan pertamanya dengan menduduki tempat kedua, sebelum prestasinya sedikit merosot pada terjunan ketiga dan keempat masing masing mencatatkan 54.00 dan 48.00.
Susulan itu, beliau memperkemaskan terjunan kelimanya dan menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ke-12 dengan mengutip keseluruhan 283.65 mata.
Hanya 18 penerjun terbaik akan layak ke pusingan separuh akhir yang dijadualkan hari ini.
Penerjun China, Chen Yiwen mengungguli pusingan kelayakan dengan 356.40 mata diikuti Kenny Maddison dari Australia di tempat kedua dengan 337.35 mata dan Vazquez Montana dari Mexico ketiga selepas mengumpul 321.74 mata.
SUMBER : BERNAMA, OLYMPIC COUNCIL OF MALAYSIA









