
QATAR – Skuad Harimau Malaya berjaya berdiri sama tinggi dan setanding dengan Syria, apabila mereka seri 2-2 dalam aksi persahabatan tertutup awal pagi tadi di Stadium Grand Hamad di kawasan Doha.
Malaysia mendahului perlawanan dengan bolosnya gol Arif Aiman Hanapi pada minit ke-39 ke gawang gol pasukan Syria, dan kedudukan itu kekal sehingga tamatnya separuh masa pertama.
Tetapi, sejurus selepas separuh masa kedua berlangsung, Syria terus menerus menyerang dan mereka berjaya menghasilkan dua gol dalam jangka masa empat minit menerusi Pablo Sabbag pada minit ke-70 dan Ibrahim Hesar pada minit yang ke-74.
Skuad Kebangsaan dalam kekalutan namun tidak mengaku kalah, dan munculnya pemain tengah Kuala Lumpur City Pablo Josue menjadi wira Malaysia apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-78 dan berjaya berdiri sama tinggi dengan pasukan Syria.
Keputusan yang memberangsangkan ini harus dipuji oleh seluruh skuad dan staff, terutamanya jurulatih Kim Pan Gon.
Keputusan ini boleh dikatakan pembakar semangat buat pasukan kebangsaan kerana jarak antara kedudukan ranking antara Malaysia dan Syria agak jauh.
Syria menghuni kedudukan ke-91 dunia manakala Malaysia dapat berdiri sama tinggi walaupun menghuni kedudukan yang agak rendah berbanding Syria, iaitu ke-130 dunia.
Tambahan lagi, Malaysia telah menamatkan kemarau 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit dan kempen kumpulan E Piala Asia akan bermula pada 15 Januari menentang Jordan, 20 Januari menentang Bahrain dan menentang Korea Selatan pada 25 Jan.
Ini merupakan penampilan keempat negara Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan menjadi tuan rumah pada 2007 namun tidak mara ke pusingan ke-16 dalam kejohanan pada tahun tersebut.
Untuk mendapatkan info lanjut berkenaan perlawanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung, boleh rujuk di media sosial rasmi Piala Asia 2023 dan FAMalaysia.
Sama-sama kita doakan kemenangan berpihak kepada pasukan Harimau Malaya.



