Sebuah Gudang Di Georgetown Runtuh, 9 Pekerja Terperangkap

GEORGETOWN – Sebuah gudang logistik yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas telah runtuh secara tiba-tiba pada malam semalam, melibatkan 18 orang pekerja warga asing.
Setakat jam 3 pagi semalam, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamad telah mengesahkan bahawa dua mangsa runtuhan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.
Beliau berkata dua orang mangsa lagi telah dijumpai dalam keadaan cedera parah dan telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan lanjut.
Beliau turut menjelaskan bahawa identiti mangsa yang maut masih belum dikenal pasti.
“Kita menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 9.45 malam dan dimaklumkan terdapat 18 pekerja di tapak pembinaan gudang logistik tersebut tetapi sembilan orang telah keluar (pergi) solat dan sembilan (yang lain) dilaporkan terperangkap (bawah runtuhan).
“Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan bekerja di bahagian bawah rasuk sepanjang lebih 12 meter dengan berat dianggarkan 14 tan sebelum ia terjatuh lalu melanggar rasuk lain dan menimpa pekerja terbabit.
“Dua mangsa telah maut di tempat kejadian dan mayat (telah) berjaya dikeluarkan kira-kira 10 malam, manakala seorang yang parah meninggal dunia di HPP,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Mohamad Usuf berkata, kren telah digunakan bagi mengangkat struktur binaan untuk memudahkan akses mencari mangsa yang terperangkap.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JBPM Pulau Pinang Zulfahmi Sutaji berkata, kawasan kejadian dianggarkan berkeluasan satu gelanggang bola keranjang dan kren serta peralatan lain telah digunakan untuk mengangkat binaan yang runtuh.
Beliau berkata, Unit Anjing Pengesan (K9) akan dipanggil sekiranya diperlukan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
Dalam pada itu, Konsul Kehormat Bangladesh Datuk Shaik Ismail Allaudin yang turut berada di lokasi berkata pihaknya masih menunggu untuk mendapatkan maklumat kesemua mangsa terlibat.
“Setakat ini saya belum boleh berikan apa-apa kenyataan kerana belum dapat maklumat rasmi.
“Saya sudah minta kontraktor terlibat untuk berikan semua butiran mangsa kerana walaupun kita tahu mereka (adalah) warga Bangladesh, tetapi kita masih perlukan dokumen untu pengesahan sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya.
Dalam perkembangan terkini mengenai insiden tersebut setakat 9 pagi tadi, media melaporkan bahawa operasi mencari dan menyelamat empat orang mangsa yang dikuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan masih lagi diteruskan sejak semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan tugasan mengalihkan struktur yang runtuh oleh jentera berat sedang dijalankan.
“Kren (telah) digunakan untuk mengalihkan strutur beam berat yang menghalang laluan masuk ke runtuhan, dan kerja-kerja pengalihan ini memerlukan sedikit masa,” menurut JBPM dalam kenyataan pagi ini.
Dalam kenyataan yang sama, anggota JBPM menjelaskan bahawa mereka mengalami kesukaran dalam mengalihkan rasuk-rasuk yang terjatuh bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus.
“Kesukaran kita setakat ini ialah mengalihkan struktur yang terjatuh kerana ia melibatkan struktur konkrit yang berat dan besar. Kerja-kerja ini memerlukan jentera mesin untuk mengangkat dan membersihkan kawasan supaya pasukan penyelamat boleh akses kepada lokasi mangsa.
“Kita (turut) menggunakan kren dan khidmat anjing pengesan jika dikhuatiri ada mangsa yang tidak dilaporkan. Kita akan teruskan operasi sehingga semua mangsa dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.
Sumber: BERNAMA



