Uncategorized

Kerangka Dasar menjadikan Malaysia Hab Pelaburan Hijau Serantau akan dibangunkan – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa kerajaan akan mengembangkan kerangka dasar dan pelan khusus untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan hijau di rantau ini.

Beliau menyatakan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dengan tujuan menggalakkan pelaburan dalam sektor pertumbuhan yang tinggi dan bernilai tinggi.

Dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) semalam, yang dipengerusikan oleh Anwar, strategi dan hala tuju untuk meningkatkan pelaburan dalam negara dibincangkan. Keputusan mesyuarat menekankan bahawa pelaburan hijau adalah salah satu bidang yang memiliki potensi besar untuk negara, dan oleh itu, perlu diperkukuhkan.

  • hijau
  • hijau

“Terkait dengan penekanan terhadap pelaburan hijau, diputuskan juga bagi menjenamakan projek Kerajaan Persekutuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 iaitu Kerian Integrated Industrial Park, sebagai Kerian Integrated Green Industrial Park.

“Ia diharap akan menjadi pencetus peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui secara sepenuhnya oleh industri yang bakal dibangunkan di taman perindustrian tersebut,” ujarnya dalam hantaran di laman media sosial rasmi Facebook miliknya, semalam.

Anwar turut menyatakan bahawa dalam mesyuarat tersebut, perbincangan turut dijalankan mengenai kepentingan industri semikonduktor, yang menyumbang sebanyak 7.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Bagi menyokong perkara ini, beliau mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Strategik Semikonduktor Negara (NSSTF) sebagai platform khusus untuk memajukan ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan strategik ke dalam sektor tersebut.

“Kesemua usaha ini adalah langkah-langkah dalam memastikan pelaksanaan pelaburan ke dalam negara akan mencapai objektif Ekonomi MADANI, termasuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 30 teratas dari segi ekonomi terbesar dunia, dan 12 teratas dari segi daya saing global dalam tempoh 10 tahun,” tambahnya lagi.

Menerusi Ekonomi Madani yang di lancarkan Perdana Menteri pada Julai tahun lepas, Malaysia menyasar untuk meningkatkan ekonominya menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun, naik ke tangga ke-30 daripada kedudukan ke-37 dalam data Bank Dunia pada 2022 dengan menumpukan kepada penyerantauan dan daya saing yang lebih besar dan meningkatkan rantaian nilai.

Tumpuan utama kerajaan adalah untuk menstruktur semula ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia.

SUMBER : BERNAMA, FACEBOO

Related Articles

Back to top button