Ustaz Don Daniyal “direhatkan” dari mengendalikan siaran Salam Baitullah ?

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan pendakwah popular, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah terbitan RTM.
Sejak beberapa hari lalu, kecoh dalam media sosial apa yang dilihat sebagai pertikaian berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang didakwa diceritakan pendakwah terbabit.
Suhaimi berkata, keputusan itu diambil bagi meredakan ketegangan dalam platform media sosial membabitkan Ustaz Don selain mengelak pertelagahan netizen berpanjangan.
“Untuk meredakan keadaan, kita rehatkan Ustaz Don buat sementara waktu. Kita kena bersikap adil. Kalau kita dapati dia tidak bersalah, kita tiada masalah untuk kembali bekerjasama. Jadi, buat masa ini, kita hanya mahu redakan keadaan… Itu paling penting,”
Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman kepada BH Online semalam.
Dalam kenyataan yang dilapor dibuat ketika bersiaran di sebuah stesen radio, Ustaz Don mendakwa Baginda pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan cinta pertama Rasulullah.
Biarpun mendapat teguran beberapa tokoh agamawan, Ustaz Don dilapor bertegas dengan dakwaannya dan tidak membuat pembetulan.
Salam Baitullah adalah program bual bicara popular terbitan RTM yang disiarkan pada musim haji, mulai 2 Jun hingga 17 Jun ini.
Dua hari yang lepas, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengenai isu terbabit dan kenyataan mengenai Ummu Hani sebagai cinta pertama Nabi Muhammad SAW turut diragui.
Klik disini untuk membaca : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/5925-irsyad-al-hadith-siri-ke-597-status-hadis-riwayat-cinta-pertama-rasulullah-saw
Respons Ustaz Don Daniyal atas isu “direhatkan”
Ustaz Don Daniyal Don Biyajid menunggu arahan rasmi daripada produksi program Salam Baitullah selepas difahamkan Radio Televisyen Malaysia ( RTM) membuat keputusan merehatkannya daripada bersiaran.
Pengurus dikenali Ana berkata, bagaimanapun Ustaz Don, 40, belum lagi dimaklumkan keputusan dia direhatkan itu, sebagaimana dibuat dalam hantaran di laman sosial X oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.
“Setakat ini, kami masih belum dapat apa-apa arahan. Kami akan tunggu dulu dan kalau perlu kami keluarkan kenyataan secara rasmi.Pihak kami pun tak mahu melebihi RTM. Jadi, tunggu dulu jawapan pihak mereka,”
Pengurus Ustaz Don, Ana.
SUMBER : BERITA HARIAN



