Berita

Sambal Nyet Khairi? Khairul Aming Hantar Surat Tuntutan

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial dan usahawan, Khairul Aming, telah menghantar surat tuntutan kepada seorang usahawan yang didakwa meniru produk ‘Sambal Nyet’ miliknya.

Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti identiti usahawan berkenaan.

Beliau berkata, peguamnya telah pun menghantar surat tuntutan bagi pelanggaran hak harta intelek.

“Terdapat lapan tuntutan yang kami senaraikan, dan sekiranya dia gagal memenuhi semua tuntutan ini, kami akan membawa kes ini ke peringkat seterusnya.

“Sambal Nyet telah didaftarkan sebagai tanda dagangan dengan MyIPO dan diluluskan pada 2 November 2021,” tulisnya dalam sebuah hantaran di laman media sosial di X.

Tambah beliau, dia menyokong perniagaan usahawan kecil, namun hanya jika ia dilakukan dengan beretika.

“Kalau ada produk, juallah menggunakan identiti dan jenama sendiri. Carilah rezeki dengan cara yang berkat,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang usahawan tular di media sosial apabila menggunakan nama ‘Sambal Nyet’ sebagai nama produk pes cili yang dijualnya.

Peniaga itu turut didakwa menggunakan format pemasaran yang serupa dengan Sambal Nyet milik Khairul Aming.

Sambal Nyet Khairi? Khairul Aming Hantar Surat Tuntutan
Pembandingan konsep Sambal Nyet Berapi dan Sambal Nyet Khairi – Sumber FOTO: Twitter Khairul Aming

Sumber: Astro Awani, X (Twitter)

Related Articles

Back to top button