Singapura, Malaysia memperkuatkan kerjasama – PM Anwar
SINGAPURA – Pada 30 Oktober 2023 semalam, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah berjumpa dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10.
Menurut kenyataan Anwar Ibrahim di media sosial rasmi Facebook, beliau berkata “Saya zahirkan penghargaan dan keterujaan terhadap hasil keseluruhan Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura kali ini yang mengukuhkan persahabatan kedua-dua negara.”
“Permukiman ini berjaya mencapai kemajuan penting dalam usaha merungkai beberapa isu tertunggak antara kedua-dua negara, antaranya persefahaman awal untuk kedua-dua negara meneliti soal kawalan ruang udara di selatan Malaysia. Ini adalah satu pencapaian luar biasa dalam hubungan dua hala Malaysia-Singapura.” tambahnya lagi.
Berkaitan isu perjanjian bekalan air di Singapura, Anwar menegaskan bahawa rundingan tersebut perlu diteliti dan dilihat dalam skop meluas supaya tidak tertumpu hanya kepada harga air semata mata, tetapi peranan penting Singapura dalam memenuhi kapasiti Sungai Johor secara menyeluruh dengan bantuan kerajaan negeri.
Sebelum sidang media tersebut dijalankan, Anwar Ibrahim memulakan lawatan beliau ke negara Singapura dengan mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana bersama delegasi Malaysia.
Tharman Shanmugaratnam dilantik menjadi Presiden Singapura pada 14 September yang lalu, Anwar mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah atas pelantikkannya.
Selepas itu, Anwar mengatur pertemuan peribadi selama lebih dari satu jam dengan Perdana Menteri Lee untuk berbicara tentang beberapa isu yang relevan bagi kedua negara.
Mengikuti pertemuan tersebut, mesyuarat antara delegasi daripada kedua-dua negara diketuai oleh Anwar Ibrahim dan Lee Hsien Loong untuk mencari kata sepakat dalam mengawasi dengan teliti dan mempercepatkan kemajuan beberapa projek inisiatif seperti RTS Link, Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura, dan pembangunan tenaga boleh baharu.
Delegasi Malaysia diwakili lapan menteri, Peguam Negara dan pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan.






