
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Pemaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Sultan Ibrahim hari ini melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.
Anwar dalam catatan menerusi laman media sosialnya di X dan Facebook menitipkan doa kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah serta seluruh Kerabat Diraja.
“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Duli Tuanku.
“Patik dan sekalian rakyat juga mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya.
Turut melafaz sumpah memegang jawatan pada hari ini ialah Sultan Perak yakni Sultan Nazrin Shah selaku timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober lepas bagi tempoh lima tahun bermula hari ini, 31 Januari 2024.
Biodata Ringkas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan baginda merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Khalsom Abdullah.
PENDIDIKAN
Seri Paduka Baginda mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam di Johor Bahru sebelum memulakan pendidikan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman yang juga berada di Johor Bahru.
Pada 1968 sehingga 1970 pula, Sultan Ibrahim melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School yang berada di Sydney, Australia sebelum meneruskan pelajaran menengahnya di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) dari 1971 hingga 1975 serta mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek, Johor Bahru.
Seri Paduka Baginda juga meneruskan pengajian di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts yang terletak di Amerika Syarikat untuk memastikan baginda menjadi seorang raja yang berwibawa dan dihormati dengan melengkapkan dua kursus iaitu Southeast Asian Strategic Studies dan International Law of the Seas.
PELANTIKAN
31 Julai 1981 – Seri Paduka Baginda dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor.
25 April 1984 sehingga 25 April 1989 – Seri Paduka Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Johor semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.
23 Januari 2010 – Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar
23 Mac 2015 – Sultan Ibrahim dimahkotakan sebagai Sultan Johor.
ISTERI DAN ANAK-ANAK
Pada 22 September 1982, Seri Paduka Baginda mendirikan rumah tangga bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah dan dikurniakan lima putera dan seorang puteri iaitu Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.
Daulat Tuanku !
SUMBER : BERNAMA , BERITA HARIAN , FACEBOOK




