BeritaTeknologi

MCMC ambil tindakan segera tangani isu liputan Internet di DUN Ayer Kuning

TAPAH – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak segera menangani masalah liputan internet dan telekomunikasi di 27 lokasi sekitar DUN Ayer Kuning selepas menerima teguran daripada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Dalam satu kenyataan media hari ini, MCMC memaklumkan beberapa langkah proaktif telah diambil oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti yang diarahkan.

Ia bagi memastikan perkhidmatan berada pada tahap memuaskan, khususnya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung di kawasan tersebut.

Antara lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan utama termasuklah Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah; 21 pusat mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning; Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang; NADI Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor.

“Setakat jam 6 petang semalam, semua penyedia perkhidmatan utama termasuk CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan penambahbaikan kepada MCMC.

“Inisiatif tersebut merangkumi pemasangan pemancar sementara, pengoptimuman sistem sedia ada dan perkongsian infrastruktur antara syarikat,” kata kenyataan itu.

Bagi memudahkan aduan orang ramai, MCMC turut membuka Kaunter Aduan di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang mulai 12 hingga 26 April 2025.

Kaunter itu beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 9 malam bagi menerima sebarang aduan berkaitan isu telekomunikasi, pos dan perkara lain di bawah bidang kuasa MCMC.

“MCMC akan terus memantau prestasi liputan secara harian dan menyampaikan aduan baharu kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan segera.

“Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arahan ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang terpakai,” menurut kenyataan itu lagi.

Related Articles

Back to top button