Kerajaan Pertimbang Anjur Program ‘Setahun Bersama Kerajaan MADANI’ Di Peringkat Negeri – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan mempertimbang untuk menganjurkan pameran seperti Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di peringkat negeri berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu hadapan.
“Saya saksikan minat rakyat bertambah baik dan kalau dalam keadaan begini, kita (kerajaan) mungkin menimbang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan untuk memindahkan kegiatan pameran seperti ini.
“Ini bagi memberi pencerahan kepada rakyat di setiap negeri di negara ini,” kata beliau kepada pemberita selepas meninjau Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Mengenai lawatannya itu, Anwar berkata program berkenaan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan malah kerjasama antara semua jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta adalah amat memuaskan.
Anwar juga meminta agar pengunjung terutama golongan muda supaya meneliti setiap langkah kemudahan dan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh semua kemneterian menerus Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI diadakan selama tiga hari bermula Jumaat dengan acara kemuncaknya adalah ketika majlis perasmian penutupan yang dijadualkan disempurnakan oleh Anwar, hari ini.
Program itu bertujuan untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif baharu setiap kementerian kepada rakyat di samping meningkatan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakian antara kerajaan dengan rakyat, melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

Sumber: BERNAMA



