BeritaNasional

Rafizi Ramli Nafi Tuduhan Projek Solar, Sifatkan Dakwaan Caprice Sebagai Fitnah

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, tampil menafikan dakwaan bahawa beliau menganugerahkan kontrak kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan dirinya dalam projek solar terbesar berkapasiti 750 megawatt (MW) oleh UEM Lestra.

Rafizi menegaskan tuduhan tersebut adalah fitnah yang sengaja disebarkan sehingga menimbulkan persepsi kononnya beliau terlibat dalam skandal rasuah bernilai RM2.5 bilion. Dakwaan itu sebelum ini dibangkitkan oleh pempengaruh dan penyanyi rap Caprice, atau nama sebenarnya Ariz Ramli, menerusi kandungan media sosial.

Dalam satu klip video yang dimuat naik di Facebook miliknya, Rafizi berkata tiada sebarang bukti pernah dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengaitkan beliau dengan sebarang salah laku.

“Tidak seperti kes yang lain, SPRM tidak menunjukkan bukti. Tidak ada rampasan ratusan juta atau jongkong emas. Tidak ada bukti ratusan juta dalam akaun saya. Malah satu bukti pun tidak ada tetapi beriya-iya dijaja jadi bahan berita,” katanya.

Beliau turut menyifatkan situasi itu sebagai contoh bagaimana fitnah boleh tersebar apabila ada pihak yang terdesak. Rafizi menambah, nilai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya juga cuba digambarkan lebih besar daripada kes melibatkan bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Menurut Rafizi, fakta yang dikongsikannya setakat ini jelas menunjukkan bahawa beliau atau Kementerian Ekonomi tidak mempunyai kuasa mahupun penglibatan dalam urusan komersial syarikat swasta, termasuk projek tenaga yang diusahakan oleh UEM Lestra.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan akan membentangkan penjelasan lebih terperinci dalam podcast YBM (Yang Berhenti Menteri) pada jam 10 malam bagi memperincikan kedudukan sebenar isu berkenaan.

Rafizi turut memberi peluang kepada Caprice untuk menyiarkan fakta yang akan dibentangkan serta memohon maaf secara terbuka atas dakwaan tersebut.

“Sekiranya beliau gagal berbuat demikian setelah diberi peluang, saya telah mengarahkan peguam-peguam saya untuk memulakan tindakan saman terhadap beliau,” tegasnya.

Isu berkenaan kini menjadi perhatian di media sosial, dengan orang ramai menantikan penjelasan lanjut yang dijanjikan oleh Rafizi dalam podcast tersebut.

Related Articles

Back to top button