Berita

Selamatkan negara, lindungi rakyat lebih penting banding pengiktirafan antarabangsa – PM Anwar

KUCHING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menegaskan bahawa langkah menyelamatkan negara sendiri dan melindungi hak rakyat adalah lebih penting daripada pengiktirafan di peringkat antarabangsa oleh negara lain-lain.

Berikutan kenyataan itu, Anwar berkata beliau tidak kisah kedudukan Malaysia sebagai negara yang jatuh dalam laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) baru-baru ini kerana menurutnya Malaysia mengambil tindakan keras terhadap ketaksuban dalam isu perkauman dan agama.

“Saya tidak kisah, tak mengapa jika kedudukan negara kita diturunkan hanya kerana kita mengambil tindakan keras terhadap golongan yang fanatik dalam isu perkauman dan agama kerana bagi saya, untuk menyelamatkan negara ini dan melindungi hak rakyat majoriti serta minoriti adalah lebih penting daripada memperoleh markah yang tinggi bagi mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Jika anda membiarkan ketaksuban dalam isu perkauman atau fasisme atau agama membiak maka anda perlu menjangkakan kemungkinan wujudnya ketidakharmonian agama,

ujar Anwar ketika merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di sini pada Isnin.

Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 menunjukkan kedudukan Malaysia yang jatuh merudum 34 anak tangga kepada tempat ke-107 berbanding tempat ke-73 pada tahun lepas.

Kemaskini data Indeks Kebebasan Media 2024, setakat 28/05/2024. – SUMBER : https://rsf.org/en/index

Sebaliknya Anwar berkata bahawa demokrasi yang bertenaga tidak boleh matang tanpa kebebasan media untuk bersuaradan golongan yang diberikan kuasa untuk menguruskan ekonomi serta negara harus menerima hakikat ini.

Demokrasi yang ada perlu melibatkan media yang bebas, ruang untuk mengeluarkan idea dan pandangan yang penuh dengan maklumat.

“Kalau tidak ada kebebasan, tidak akan ada pencernaan karya-karya hebat dan agung baik dalam sastera, budaya atau politik. Semua itu tidak dapat dicernakan tanpa rasa bebas mengungkap dengan sebaiknya, tetapi apa batasannya?

“Batasannya adalah apabila kita menggunakan ruang untuk memecahbelahkan, menanam bibit permusuhan yang akan meruntuhkan sendi negara ini. Sebab itulah kita punyai tugas dan tekad politik untuk menyatakan batas yang diperlukan.

Ia mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pandangan terutama di barat, sebab itu saya katakan dalam era pascanormal yang disebut chaos, complex dan penuh dengan pertembungan itu menuntut kita juga memikir kaedah yang benar,” ujar Anwar.

Anwar juga menekankan bahawa perlu kod etika kewartawanan ini bukanlah sesuatu yang dipaksa, malah ia adalah kod untuk mengangkat martabat dan harakat bangsa.

“Mengangkat harakat bangsa itu bererti menggapai alam yang diterokai termasuk digital dan AI (kecerdasan buatan) tetapi tidak pernah harus lupa untuk mengakar ke bumi.

“Mengakar itu bererti nilai kemanusiaan, nilai akhlak dan etika kerana manusia itu tidak tertegak hanya dengan AI, pembangunan, infrastruktur tetapi ia tertegak dengan kekuatan fizikal, keindahan teknologi tetapi dengan nilai kemanusiaan. Ini nilai terbesar kepada kita,” katanya.

Anwar Ibrahim.

SUMBER : BERNAMA, SINAR HARIAN

Related Articles

Back to top button