Sekatan aplikasi janji temu: Usaha kerajaan, peranan ibu bapa perlu seiring

APLIKASI janji temu pada era digital semakin berkembang luas. Malah, ia sering menjadi pilihan golongan muda untuk mencari kenalan dan teman istimewa.
Sebagai contoh aplikasi Tinder, Grindr dan Omi semakin popular penggunaannya di dunia, namun ia turut membawa risiko keselamatan terutamanya kepada remaja.
Bagi menangani ancaman ini, kerajaan telah mengambil langkah menyekat akses ke aplikasi tersebut bagi mengurangkan kes jenayah siber.
Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling dari SMK Sungai Besar, Abdul Muiez Ruslee, beliau menyokong dan menyambut baik langkah kerajaan menyekat aplikasi berkenaan.
“Ini kerana banyak kes jenayah seperti rogol dan penculikan berpunca daripada penggunaannya.
“Selain itu, aplikasi janji temu juga boleh menjadi punca keruntuhan rumah tangga,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun ujarnya, sekatan sahaja tidak mencukupi.
Sebaliknya kerajaan disaran untuk memperketatkan peraturan pendaftaran pengguna seperti mengharamkan individu di bawah umur 18 atau 21 tahun daripada mendaftar.
“Selain itu, kawalan data peribadi juga perlu diperketatkan untuk mengelakkan penyalahgunaan aplikasi tersebut,” jelasnya.
Tambah Abdul Muiez, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mengenai keselamatan digital.
Tegasnya, ibu bapa perlu memantau aktiviti dalam talian anak-anak dan memastikan mereka tidak memasang aplikasi janji temu.
“Pemantauan telefon bimbit termasuk galeri, mesej dan sejarah perbualan, adalah langkah penting bagi mencegah anak-anak daripada terjebak dalam aktiviti berbahaya,” ujarnya lagi.
Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak kempen kesedaran dijalankan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai bahaya aplikasi janji temu ini.
Sebagai seorang kaunselor, Abdul Muiez menasihatkan remaja agar mengelakkan penggunaan aplikasi janji temu untuk mencari jodoh.
Beliau menyarankan kaedah perkenalan yang lebih selamat, seperti melalui keluarga dan rakan yang dipercayai.
“Ini kerana risiko tertipu dalam aplikasi janji temu adalah tinggi, termasuk kemungkinan berinteraksi dengan individu yang telah berkahwin tanpa disedari,” katanya.
Kesimpulannya, penyekatan aplikasi janji temu oleh kerajaan adalah langkah yang wajar dalam usaha melindungi masyarakat daripada jenayah siber.
Namun, tanggungjawab ini tidak harus diletakkan pada kerajaan semata-mata.
Sebaliknya ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat secara keseluruhannya perlu bekerjasama dalam memastikan anak-anak memahami risiko dunia digital serta menggunakannya dengan lebih bijak.



