Berita

Ribuan Rakyat Johor Iringi Keberangkatan Sultan Ibrahim Ke Istana Negara

JOHOR BHARU – Ribuan rakyat Johor menunggu seawal 6.30 pagi di sepanjang laluan dari Istana Bukit Serene hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di Kulau bagi menyaksikan sendiri detik bersejarah keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Sultan Ibrahim ke Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Ribuan Rakyat Johor Iringi Keberangkatan Sultan Ibrahim Ke Istana Negara
Sumber FOTO: BERNAMA

Sultan Ibrahim yang lengkap berpakaian istiadat menaiki kenderaan rasmi meninggalkan Istana Bukit Serene, di sini pada 7.45 pagi dengan diiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku menteri pengiring dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Keberangkatan sultan Ibrahim disaksikan kira-kira 30,000 rakyat Johor, termasuk murid sekolah, penjawar awam negeri serta orang ramai yang berhimpun di sepanjang laluan menghala ke LTAS antaranya Masjid LTAS sebelum berakhir di Hangar Diraja Senai yag mengambil masa lebih kurang sejam.

Ribuan Rakyat Johor Iringi Keberangkatan Sultan Ibrahim Ke Istana Negara

Pengisytiharan Sultan Ibrahim memegang jawatan mengulangi detik bersejarah paduka ayahanda Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-8 pada 1984 hingga 1989.

Setiba di LTAS, Yang di-Pertuan Agong disambut pembesar-pembesar negeri, diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Sebelum rombongan diraja berangkat ke Kuala Lumpur menaiki pesawat peribadi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad memimpin bacaan doa, disusuli dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Kol (B) Datuk Mohamed Perang Musa.

Ribuan Rakyat Johor Iringi Keberangkatan Sultan Ibrahim Ke Istana Negara

Pesawat peribadi yang membawa Sultan Ibrahim ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, berlepas pada 9 pagi.

Ribuan Rakyat Johor Iringi Keberangkatan Sultan Ibrahim Ke Istana Negara

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button