Berita

Projek Pelabuhan dan Jambatan Darat Thailand Beri Manfaat kepada Malaysia – PM Anwar

SADAO – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat bahawa cadangan Thailand untuk membangunkan projek jambatan darat bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Pasifik dan Hindi yang memintas Selat Melaka secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada Malaysia.

Anwar dan Srettha di Thailand
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin ketika diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool mengenai Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan ICQS Bukit Kayu Hitam. – FOTO : Utusan Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand Srettha Thavisin menyertai lawatan ke tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di sini hari ini – FOTO : Fath Rizal/Prime Minister’s Office of Malaysia

Menurut beliau, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin telah memberi komitmen dan jaminan bahawa Malaysia akan turut dilibatkan dalam pelaksanan projek tersebut.

Begitupun, Anwar menegaskan masih terlalu awal untuk Malaysia membuat keputusan untuk menyertai projek itu atau mendapatkan ekuiti dalam rancangan pembinaan projek berkenaan.

“Dalam perbincangan tadi (semalam), memang (dimaklumkan Srettha) akan libatkan Malaysia, dan sudah tentu (ianya) akan memberi manfaat kepada negara ini terutamanya sebelah utara Semenanjung.

“Jadi bagi kita, akan ada faedah dan kita akan memanfaatkan kemudahannya di situ. Cuma cara terperincinya, sama ada kita menyertai atau tidak aktiviti itu masih terlalu awal untuk kita bincangkan.

“Begitupun, berdasarkan semangat perbincangan itu, Perdana Menteri Thailand (Srettha) berkata, mereka akan pastikan Malaysia dapat manfaat,” jelasnya.

Anwar berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao dan tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia bersama Perdana Menteri Thailand, pada Isnin lalu.

Anwar dan Srettha
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand Srettha Thavisin menyertai lawatan tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di sini hari ini – FOT0 : Fath Rizal/Prime Minister’s Office of Malaysia

Untuk rekod, Projek Landbridge atau jambatan darat berkenaan dianggarkan menelan kos kira-kira 1 trilion baht (AS$28 bilion).

Ia membabitkan pembinaan pelabuhan laut di kedua-dua bahagian semenanjung selatan Thailand, dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya dan kereta api yang komprehensif.

Laluan sepanjang 100 kilometer itu akan berfungsi sebagai alternatif kepada cadangan untuk membina terusan melalui Segenting Kra.

Dalam laporan media lain, Anwar memaklumkan telah menyatakan hasrat kepada kerajaan Thailand bagi meneruskan rancangan pembinaan baharu Rantau Panjang menyeberang Sungai Golok yang belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

Menurutnya, Malaysia sudah bersedia dan hanya menunggu jawapan daripada kerajaan Thailand.

“Kita sudah bersedia dan hanya tunggu maklum balas daripada Thailand untuk beri keputusan atau jawapan.

“Jika mereka bersetuju, ia akan dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan dan kita boleh dapatkan kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA), kemudian segerakan pembinaan Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok.

“Saya juga akan maklumkan kemajuan ini kepada Menteri Besar Kelantan supaya dapat membantu mempercepatkan proses ini,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan kerja sehari ke Sadao pada Isnin lalu untuk membincangkan isu berkaitan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Thailand bersama rakan sejawatnya, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin.

Baca berita penuh disini.

SUMBER: BERNAMAAstro Awani

Related Articles

Back to top button