Ekonomi

Kerajaan Belum Bersedia Laksana Semula GST – PM Anwar Utamakan Kebajikan Rakyat

PUTRAJAYA, 20 Jun 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam masa terdekat kerana majoriti rakyat masih berdepan dengan cabaran kos sara hidup dan tahap pendapatan yang rendah.

Menurut beliau, sebarang bentuk cukai baharu mesti diteliti dengan telus dan mengambil kira kemampuan rakyat, bukannya semata-mata untuk meningkatkan hasil negara.

“Pendapatan rakyat masih belum cukup meyakinkan untuk kita perkenalkan semula GST. Kita perlu berlaku adil. Jangan sampai kerajaan mengutip cukai secara agresif tetapi rakyat terus terbeban,” katanya selepas menghadiri sesi libat urus bersama pakar ekonomi dan wakil industri pagi tadi.

Anwar turut menyatakan bahawa kerajaan kini lebih menumpukan kepada usaha meningkatkan kecekapan kutipan cukai sedia ada, mengurangkan pembaziran perbelanjaan awam, serta menutup ruang ketirisan dan rasuah.

“Kita bukan anti cukai. Tapi biar kena pada waktunya. Keutamaan saya sekarang ialah naikkan taraf hidup rakyat, kukuhkan ekonomi rakyat bawah dan pertengah,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, sebarang keputusan berkaitan dasar fiskal akan melalui kajian menyeluruh dengan libat urus pelbagai pihak termasuk rakyat, ahli akademik dan komuniti perniagaan.

Kenyataan ini sekaligus menepis spekulasi yang berlegar sejak beberapa bulan lalu bahawa kerajaan sedang merangka pelaksanaan semula GST dalam tempoh terdekat.

Related Articles

Back to top button