
KUCHING – Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu Sarawak hasilkan robot sebagai bantuan tenaga kerja untuk manusia dalam aktiviti harian.
Kata beliau, Sarawak boleh mengambil inspirasi daripada robot jururawat ‘Grace the Robot’ yang telah ditampilkan ketika Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia Ke-27 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Keenam (WCIT | IDECS) 2023, baru-baru ini.

Grace ialah robot yang dibangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh Hanson Robotics yang berpangkalan di Hong Kong.
Tambah beliau, kerajaan negeri sudah bersedia untuk memberi peruntukan bagi projek penghasilan robot tersebut.
“Mungkin kita boleh gunakan nama berbeza (untuk robot) yang lebih berciri Sarawak. Saya difahamkan Grace the robot mempunyai lebih 4,000 motor pada kepalanya sahaja.
Mungkin juga, untuk projek ini kita boleh minta Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) untuk bekerjasama dengan Huawei,” jelas beliau.
Selain itu, robot yang dihasilkan juga boleh digunakan dalam aspek penjagaan kesihatan atau tugas dan aktiviti lain dalam kehidupan seharian kita, tambahnya lagi dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Kelima Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) di sini, semalam.



