Berita

Polis cari remaja 14 tahun pandu kereta bawa dua adik

UALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat video yang tular menunjukkan seorang remaja lelaki memandu kereta sambil membawa dua kanak-kanak di kawasan taman perumahan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, memaklumkan bahawa pihaknya sedang membuat semakan laporan dengan semua ketua trafik kontinjen negeri.

“Kita sedang kenal pasti lokasi kejadian selain akan kesan keluarga kanak-kanak terbabit,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada hari Isnin, sebuah video berdurasi 1 minit 49 saat telah tular, memaparkan kejadian yang berlaku pada waktu malam.

Dalam video tersebut, seorang wanita dilihat menahan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu oleh seorang remaja lelaki yang dikatakan berusia 14 tahun.

Pada awal rakaman, kereta yang dipandu remaja tersebut dilihat bergerak agak laju ketika melalui bonggol di hadapan sebuah rumah, sebelum wanita itu bertindak menahan dan meminta kereta tersebut berhenti.

Ketika ditahan, remaja lelaki tersebut turut membawa dua kanak-kanak lelaki dan perempuan yang dipercayai adiknya, berusia sekitar 5 hingga 6 tahun.

“Awak tahu tak tindakan memandu tanpa lesen salah, saya rakam (video) dan kemudian nak pergi balai polis untuk buat laporan.

“Sudah banyak kali nampak awak buat kereta laju dalam kawasan taman (perumahan) di sini banyak budak-budak, tak boleh pandu laju macam tu,” tegas wanita itu.

Remaja lelaki itu mengakui kesalahannya namun meminta wanita itu berjumpa dengan ayahnya selepas ditegur kerana turut sama membawa adiknya yang masih kecil.

Video itu tersebar di pelbagai media sosial dan rangkaian berita dan ruangan komen rata-rata netizen menyatakan kebimbangan terhadap perbuatan remaja itu memandu kereta ibu bapanya tanpa lesen.

SUMBER : SINAR HARIAN

Related Articles

Back to top button