Bantuan segera penoreh tangani musim panas akan dibincangkan hari ini

Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Majlis Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat yang akan berakhir hari ini menumpukan kepada bantuan segera yang dilaksana kerajaan dalam membantu penoreh serta pekebun kecil getah menangani musim panas dan El Nino yang menyebabkan hasil susu getah berkurang.
Menurut aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, Datuk Azman Nasrudin [PN-Padang Serai] antara lain akan meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menjelaskan hasil lawatan kerja menteri ke Eropah dan sidang dihadiri dalam menangani isu diskriminasi minyak sawit Malaysia dan rantau ASEAN.
Beliau dijadual bertanya soalan itu semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), pukul 10 pagi ini.
Turut menjadi tumpuan ialah pertanyaan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai langkah drastik untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan, susulan tindakan Vietnam yang mengambil langkah mengurangkan eksport beras mereka
Isu El Nino dan impaknya terhadap bekalan makanan negara juga akan menjadi topik perbincangan hari ini, daripada soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) ketika sesi soal jawab yang mahu tahu langkah yang sedang direncana kerajaan bagi menangani isu itu.
Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) pula ingin tahu langkah kementerian dalam meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap pengambilan dos penggalak kedua bagi mengelakkan pembaziran vaksin COVID-19.
Selain itu, Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentang hari ini selepas ia tidak sempat dibentang ketika sidang Dewan Rakyat semalam.
Kertas Putih Kesihatan itu yang merangkumi dasar komprehensif dalam mereformasikan sistem kesihatan untuk dilaksana secara berperingkat selama 15 tahun dijadual dikemukakan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa selepas beliau membentangkan Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2023 untuk bacaan kali pertama hari ini.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Parlimen Ke-15 (2023) berakhir hari ini setelah bersidang selama 11 hari bermula 22 Mei lalu sehingga 15 Jun 2023.
– BERNAMA & UTUSAN MALAYSIA



