Berita

Pemandu Bas Maut, Manakala 6 Tercedera Dalam Kemalangan Treler

LOR GAJAH – Seorang pemandu bas maut, manakala enam penumpang tercedera selepas bas ekspres yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 220.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira pukul 1.30 pagi, Rabu lalu.

Pemandu bas, Zainuddin Jaidun, 49, yang mengalami kecederaan parah di badannya, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala enam penumpang yang lain tercedera termasuk tiga daripada mangsa mengalami kecederaan patah kaki.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, pada waktu kejadian, bas ekspres berkenaan sedang membawa 7 orang penumpang dalam perjalanannya dari Singapura menuju ke Terminal Bas Seremban, Negeri Sembilan sebelum merempuh sebuah treler yang sedang membawa muatan besi dari Melaka ke Rawang, Selangor.

“Dalam siasatan awal, kami mendapati bahawa mangsa (pemandu bas) telah merempuh bahagian belakang sebuah treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 52 tahun,” kata beliau dalam satu kenyataannya semalam.

kemalangan pemandu bas
Keadaan bas ekspres yang merempuh bahagian belakang sebuah treler muatan besi di Lebuhraya PLUS – Sumber MalaysiaGazette

Menurutnya lagi, pemandu bas itu tersepit di antara dua kenderaan muatan berat itu akibat dari pelanggaran yang berlaku sebelum berjaya dikeluarkan oleh para penyelamat Bomba. Mangsa kemudian dibawa ke bahagian forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

Arshad berkata, pemandu treler tidak tercedera ketika pelanggaran berlaku, maka dia dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah bagi membantu siasatan.

“Semua penumpang yang terlibat, termasuk seorang warga Singapura dan Myanmar telah dibawa ke Hospital Rembau dan Hospital Serembal untuk menerima rawatan lanjut,” tambahnya lagi.

Sementara itu, kedua-dua kenderan yang terlibat dalam kemalangan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk disiasat dengan lebih lanjut oleh Puspakom.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu menyatakan bahawa kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987. Kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian tersebut dialu-alukan untuk menyalurkannya kepada Balai Polis Trafik Alor Gajah di talian 06-5563222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: BERNAMA, UtusanMalaysia

Related Articles

Back to top button