NSRC Kini Diperkasa, Ada Talian Respons 24 Jam Untuk Tangani Semua Jenayah Siber – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Kerajaan bakal memperkukuh lagi peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dengan memperluas skopnya untuk menangani semua bentuk jenayah siber – bukan sekadar penipuan dalam talian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini termasuk mewujudkan rangkaian respons 24 jam yang diselaras secara menyeluruh oleh pelbagai agensi, bagi memastikan tindakan lebih pantas dan berkesan dapat diambil terhadap aduan berkaitan jenayah siber.
“Ancaman siber semakin canggih dan kompleks. Kita perlukan respons yang lebih tangkas, tersusun dan komprehensif. NSRC akan jadi nadi utama gerak balas negara terhadap jenayah siber,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan peningkatan kes scam, kebocoran data peribadi dan serangan digital, kerajaan mahu rakyat ada saluran segera untuk buat laporan dan dapat bantuan tanpa perlu tunggu lama.
Untuk rekod, NSRC ditubuhkan pada tahun 2023 sebagai pusat sehenti untuk aduan berkaitan penipuan dalam talian. Kini ia akan dinaik taraf sebagai “markas perang” menentang jenayah digital – dengan kerjasama agensi-agensi keselamatan, perbankan dan penguatkuasaan.
Kalau selama ini anda susah nak cari saluran yang betul bila kena tipu online – sistem baharu ini dijangka akan beri lebih banyak kelegaan dan tindakan segera.



