Berita

Malaysia Terus Pimpin Usaha Selesaikan Isu Sempadan Thailand-Kemboja – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia akan terus memikul tanggungjawab memudah cara rundingan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Thailand dan Kemboja walaupun selepas negara tidak lagi memegang jawatan Pengerusi ASEAN.

Menurut beliau, mandat yang diberikan oleh ASEAN kepada Malaysia bukan sekadar bersifat protokol, tetapi bukti kepercayaan serantau terhadap kepimpinan dan keupayaan diplomasi Malaysia dalam menangani isu-isu keselamatan dan kestabilan rantau ini.

“Mandat ini diminta untuk saya teruskan sehingga keadaan selesai. Kita tidak terikat semata-mata dengan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN. Penyelesaian ini kita jangka selewat-lewatnya dalam tempoh tiga bulan,” katanya menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari, di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menegaskan, usaha Malaysia ini mencerminkan prinsip negara sebagai kuasa sederhana yang berprinsip, sentiasa mengutamakan penyelesaian damai dan kerjasama serantau berbanding pendekatan konfrontasi.

“Peranan kita di rantau ini bukan sahaja untuk menjadi pemerhati, tetapi untuk memastikan keamanan dan kestabilan ASEAN terus terpelihara,” tegas beliau.

Langkah proaktif Malaysia ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negara di mata dunia, malah memperlihatkan kepimpinan yang konsisten dalam memacu agenda keamanan serantau, selaras dengan aspirasi ASEAN sebagai blok yang aman, stabil dan disegani di peringkat global.

Related Articles

Back to top button