Perhebat kempen kepada orang muda bahaya merokok, vape punca serangan jantung

Ditulis dan diambil dari Minda Pengarang @ Berita Harian
SHAH ALAM – Pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim yang mengatakan semakin ramai golongan muda, terutama individu berusia antara 20-an dan 30-an dikesan mengalami serangan jantung berikutan ketagihan tembakau amat mengejutkan dan membimbangkan.
Walaupun tidak menyatakan secara spesifik jumlah kes dirujuk ke IJN, namun kegemaran golongan lelaki merokok, manakala wanita cenderung menggunakan vape berikutan didakwa boleh melangsingkan badan antara faktor peningkatan generasi muda mengalami serangan jantung.
Lebih menakutkan apabila meningkatnya perokok ‘dua dalam satu’ iaitu menghisap rokok tembakau dan vape dalam kalangan usia muda, ditambah mengamalkan gaya hidup tidak sihat, sekali gus membuatkan individu terbabit lebih cepat mendapat serangan jantung kerana kesan dialami mereka menjadi dua kali ganda lebih berisiko.
Ia sepatutnya menjadi kejutan amaran kepada masyarakat bahawa serangan jantung tidak lagi hanya dialami individu berusia, warga emas dan golongan rentan, sebaliknya meluas dalam segenap usia masyarakat. Perkembangan terkini yang berbahaya ini seharusnya membuka mata kerajaan untuk mencari jalan mencegah sebelum merawat ‘penyakit’ ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) tidak harus bertangguh untuk mencari mekanisme dan merangka pelan tindakan baharu bagaimana hendak meminimumkan risiko serangan jantung dialami golongan muda. Penyakit berkaitan jantung antara penyebab utama kematian di Malaysia setiap tahun, sekali gus membebankan kewangan negara.
Berdasarkan laporan Kos Penjagaan Kesihatan Langsung Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia, dianggarkan RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos perawatan kesihatan digunakan bagi perbelanjaan pada 2017 adalah merawat pesakit jantung.
Atas faktor ini, kerajaan harus segera mengaktifkan program dan kempen kesedaran mengenai ancaman serangan jantung yang banyak dipengaruhi akibat tabiat merokok termasuk vape ataupun pelbagai jenis rokok elektronik yang ada pada masa kini. Ia harus bermula di sekolah rendah dan diperhebatkan pada peringkat sekolah menengah.
Kementerian Pendidikan perlu lebih agresif mewujudkan peraturan khas bagi membendung trend menghisap vape dalam kalangan pelajar seperti dilaporkan media sebelum ini. Ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan kepada pihak sekolah untuk mengawal dan memantau anak mereka daripada tabiat merokok serta menghisap vape.
Ibu bapa tidak boleh lagi berlembut, sebaliknya perlu lebih tegas memantau dan mengawal aktiviti anak supaya tidak terjebak dengan perangkap tabiat merokok serta menghisap vape yang diketahui menjadi punca utama kepada serangan jantung kepada generasi muda hari ini.
Kerajaan juga harus segera meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Generasi Penamat Rokok (GEG) jika benar-benar komited mahu melindungi generasi muda hari ini daripada serangan jantung yang diketahui berpunca daripada tabiat merokok dan menghisap vape.
SUMBER : BERITA HARIAN






