Berita

Kanak-kanak OKU berusia 5 tahun maut dalam kemalangan

KLUANG – Petang semalam, berita mengejutkan berkenaan nahas kemalangan kereta yang berlaku di Jalan Selar Taman Ilham menyebabkan kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) bernama Nor Rahil Raihan Mohd Shahrul maut dalam kejadian tersebut.

Mangsa tersebut baru sahaja berusia 5 tahun, disahkan maut pada jam 10 malam semalam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

Kanak-kanak OKU tersebut dilaporkan maut kerana pendarahan kronik dan kecederaan dalaman abdomen yang dihadapinya ketika dirawat.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh menyatakan bahawa Naza Ria yang dipandu oleh ibu mangsa, Aishah Mohd Saleh disyaki telah hilang kawalan ketika dia memandu kereta dari arah Kampung Paya ke arah Taman Ilham.

Anak lelakinya yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan, Nor Izzul Islam Mohd Shahrul dilaporkan cedera akibat kemalangan tersebut.

Beliau juga menyatakan bahawa Naza Ria yang dipandu itu melanggar bahagian tepi Proton Wira yang diparkir di lokasi kejadian pada semalam.

Pemandu yang berada dalam Proton Wira dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Sebelum ini, kisah kehidupan Nor Rahil Raihan Mohd Shahrul yang menghidap penyakit hydrocephalus (lebihan cecair dalam otak), kerosakan buah pinggang dan pendarahan dalam perut berjaya mendapat liputan media dan sokongan dari pelbagai sudut. (ARTIKEL)

  • maut
  • Nor Rahil Raihan 5, (kiri) bersama keluarga ketika berada di jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 di Laman Kembara Paloh, Ogos lalu. SUMBER – MalaysiaGazette

Penyakit yang dihadapi oleh mangsa sejak lahir itu menyebabkannya memiliki kepala yang lebih besar berbanding orang lain.

Ibunya dilaporkan selalu berdoa penderitaan anak bongsu daripada tiga beradik itu berakhir dan berharap ada keajaiban berlaku.

Sama-sama kita mendoakan Nor Rahil Raihan Mohd Shahrul agar ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan semoga keluarga mangsa dipermudahkan urusan.

SUMBER : BERITA HARIAN

Related Articles

Back to top button