
KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menafikan pusing-U mengenai gaji minimum RM1,500 yang telah dikuatkuasakan sejak tahun lepas.
Sebaliknya, beliau berkata, pelaksanaan gaji minimum kekal wajib dilaksanakan dan akan diperkasakan dengan gaji progresif untuk pekerja separuh mahir dan berkemahiran tinggi.
Kenyataan Rafizi adalah bagi membalas sebuah ciapan daripada pengguna media sosial X yang memetik laporan akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa, ‘Tiada arahan mandatori gaji minimum buat masa ini’.
“Ini telah disalah lapor, gaji minimum kekal dan akan diperkukuh dengan gaji progresif untuk pekerja separuh mahir dan berkemahiran tinggi,” jelas Rafizi ringkas di lama X, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Sumber Manusia telah menguatkuasakan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 pada 1 Mei tahun lalu dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan.
Minggu lalu pula, Rafizi telah membentangkan kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif, dalam usaha memastikan pekerja mendapat gaji lebih tinggi seiring dengan peningkatan produktiviti.
Ia mengandungi tiga mekanisme utama iaitu dilaksanakan secara sukarela, berteraskan insentif dan peruntukan yang disuntik kerajaan dan tanggungjawab pekerja dalam meningkatkan produktiviti.
Sumber: Astro Awani, Twitter



