Israel Menolak Keras Bantuan Starlink Elon Musk Kepada Gaza

Starlink merupakan suatu buruj internet satelit yang dikendalikan oleh syarikat aeroangkasa Amerika, SpaceX yang juga diasaskan oleh Elon Musk bersama rakan kongsinya, Tom Mueller.
Pengasas kepada laman aplikasi mudah alih X (sebelumnya Twitter) Elon Musk telah memaklumkan menerusi media sosial X bahawa bantuan Starlink akan diberikan kepada Gaza bagi menyokong sambungan internet kepada pertubuhan yang diiktiraf antarabangsa di sana, semalam.
Kenyataan tersebut dibuat ketika Elon membalas ciapan Perwakilan di Dewan Perwakilan US Bahagia Daerah New York Ke-14 Alexandria Ocasio Cortez yang mengeji tindakan Israel untuk memutuskan hubungan internet di Gaza.
Dalam suatu kenyataan lain, Elon berkata beliau akan menyokong Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan kemanusiaan yang diiktiraf antarabangsa.
Namun begitu, Menteri Komunikasi Israel Shlomo Karhi menerusi media sosial X juga memaklumkan bahawa pihak mereka akan menggunakan segala cara yang ada untuk menghalang Elon Musk daripada membekalkan internet kepada pertubuhan bantuan di Gaza.
Menurut Shlomo, tentera Hamas akan menggunakan kesempatan ini untuk melakukan aktiviti keganasan.
“Dalam pada itu, pejabat saya (Kementerian Komunikasi Israel) akan memutuskan sebarang hubungan dengan Starlink,” tambahnya lagi.
Membalas kenyataan itu, Elon menyatakan bahawa tiada terminal Starlink yang cuba disambungkan melalui Gaza, dan jika ada, ianya hanya akan digunakan sepenuhnya untuk bantuan kemanusiaan.
“Tiada satu pun terminal yang cuba disambungkan melalui Gaza.
“Jika ada satu, kami akan gunakan apa cara sekalipun untuk memastikan bahawa ianya akan digunakan hanya untuk tujuan kemanusiaan,” jelas Elon.
Dalam kenyataan yang sama, Elon juga menyatakan bahawa dia akan melaksanakan pemeriksaan keselamatan dengan Kerajaan US dan Israel sebelum memasang Starlink di Gaza.
Sumber: X



