BeritaNasional

Malaysia bebas jalin hubungan dengan mana-mana negara – PM Anwar

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia mempunyai kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan membangunkan hubungan baik dengan mana-mana negara.

Beliau menyatakan pendiriannya ini dalam Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak, dan Dalam Talian di sini semalam.

“Malaysia memerlukan sahabat, pelaburan, dan tidak mempunyai niat untuk terlibat dalam peperangan dengan negara lain. Kita ingin menjalin hubungan baik dengan semua negara,” katanya.

Anwar turut menyentuh mengenai Dasar Pandang Ke Timur, yang sebelum ini hanya menyertakan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh model pembangunan ekonomi. Beliau menekankan perlunya merangkumi China dalam dasar ini.

“Pada masa diperkenalkan pada tahun 1982, Dasar Pandang Ke Timur hanya memfokus kepada Jepun dan Korea kerana ekonomi China pada masa itu tidak begitu baik. Tetapi sekarang, ekonomi China telah berkembang pesat dalam teknologi, industri, dan kekuatan universiti.

Xi Jinping, Presiden China, juga mengetengahkan beberapa isu yang sangat menarik, termasuk peradaban dan nilai. Oleh itu, saya rasa Dasar Pandang Ke Timur seharusnya merangkumi China, Jepun, dan Korea Selatan,” katanya.

Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1982 untuk mempelajari strategi pemodenan ekonomi, terutamanya dari Jepun dan Korea Selatan.

Anwar juga menekankan bahawa hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat masih baik walaupun negara ini menjalin hubungan baik dengan China.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia memiliki hak untuk menyuarakan pandangan sendiri tanpa campur tangan dari mana-mana pihak.

SUMBER : BERITA HARIAN

Related Articles

Back to top button