Berita

Diam diam ubi berisi, pura-pura lihat menu sambil tangan licik seluk beg mangsa

KOTA MARUDU – Taktik licik seorang penyeluk saku yang berpura-pura melihat menu makanan sebelum mencuri dompet mangsa terbongkar apabila perbuatannya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah restoran di sini.

Kejadian tersebut berlaku pada 20 Julai lalu, di mana mangsa, seorang wanita berusia 59 tahun yang merupakan pesara, membuat laporan polis setelah menyedari dompetnya hilang ketika berada di restoran tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Zairolnizal Ishak, mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan dompet mangsa pada hari yang sama, sekitar jam 8.25 malam.

Menurut Zairolnizal, mangsa melaporkan mengalami kerugian sekitar RM2,500, termasuk wang tunai RM1,800 serta beberapa dokumen dan kad bank.

“Hasil siasatan mendapati, ketika kejadian mangsa hendak membayar di kaunter dan dompet duitnya telah hilang di dalam beg sandang.

“Mangsa berusaha mencari dompetnya di sekeliling kawasan namun tidak menemuinya dan mengesyaki telah diambil orang,” katanya ketika dihubungi pihak media semalam.

Katanya lagi, siasatan awal di lokasi kejadian terdapat CCTV di dalam kedai dan satu lagi di luar kedai.

“Hasil semakan mendapati rakaman pada hari tersebut jam 12.37 tengah hari menunjukkan imej seorang suspek wanita tidak dikenali telah berpura-pura melihat katalog menu sambil merapati mangsa di kaunter.

“Suspek menyeluk beg sandang mangsa lalu mengambil dompet tersebut dan memasukkan ke dalam beg sandangnya sendiri serta keluar ke arah pintu hadapan.

“Melalui rakaman CCTV di luar menunjukkan suspek berjalan menuju ke arah seberang jalan di mana terdapat sebuah kenderaan jenis Proton Iswara warna putih yang tidak kelihatan nombor pendaftarannya sedang menunggu suspek sebelum beredar ke arah jalan raya utama,” ujarnya.

Bagaimanapun, Zairolnizal berkata, mangsa tidak mengecam wajah suspek kerana ketika kejadian terdapat ramai pelanggan.

“Mangsa juga tidak menyedari kejadian itu berlaku. Pihak polis sedang mengesan suspek wanita dipercayai berusia 40-an dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi 52 saat memaparkan dua wanita sedang melihat buku menu di sebuah restoran di daerah ini.

Dalam video itu, kelihatan tangan salah seorang wanita tersebut menyeluk beg wanita di sebelahnya lalu mengambil sesuatu dipercayai dompet sebelum dilihat beredar dari restoran berkenaan.

SUMBER : SINAR HARIAN

Related Articles

Back to top button