Nasional

De Dagang Bakal Manfaatkan 100,000 Usahawan

Sebanyak 100,000 perniagaan tempatan dijangka mendapat manfaat daripada ‘Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE Dagang’ (JMKM@DE Dagang), yang dilancarkan 3 September lalu dengan jangkaan jumlah jualan kasar lebih RM1.5 bilion melalui lima juta transaksi dalam talian .

Tan Sri Annuar Musa selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata menerusi kempen itu, 17 rakan kongsi platform digital bakal menawarkan promosi dan insentif mampu milik kepada rakyat Malaysia mulai bulan September hingga Disember.

“Rakyat Malaysia boleh menebus insentif yang ditawarkan oleh 17 rakan kongsi platform termasuk Bizapp, InstanteStore, Jocom, Kravve, Kumoten, Lokein.com, Maybank, Rtist, SiteGiant, Wonderfly dan juga platform luar negara seperti Fave, FoodPanda, Grab, Lazada, OYO Hospitality, Shopee dan TikTok.

“Kempen ini adalah usaha kerajaan membantu mengurangkan beban rakyat dan selaras dengan hasrat Pasukan Petugas Khas Jihad Memerangi Inflasi iaitu menurunkan kadar inflasi dan harga makanan khususnya melalui Jualan Murah Keluarga program Malaysia.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan JMKM@DE Dagang di Plaza Shah Alam di sini.

Menurut Tan Sri Annuar Musa lagi, kempen itu adalah sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2022 dan JMKM@DE Dagang, bersama rakan platform digitalnya, akan menyalurkan sokongan kewangan bernilai RM300 juta kepada perniagaan tempatan melalui pelbagai platform e-dagang dan e-pembayaran dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan jualan dan pendapatan mereka.

Tempoh empat bulan akan datang akan dipantau bagi melihat keberkesanan kempen ini sebelum mengambil langkah seterusnya, ujar beliau lagi.

“Kita akan jalankan kempen dahulu, dan jika mendapat sambut yang memberansangkan, insya-Allah akan ada pengumuman pada sesi belanjawan akan datang untuk tahun hadapan,” katanya.

JMKM@DE Dagang juga merupakan kesinambungan daripada pelbagai program yang telah dilancarkan antaranya ‘Jualan Murah Keluarga Malaysia’, ‘Jualan Murah Rangkaian Koperasi’, dan ‘Jualan Murah @ Kampus’ yang dilancarkan bulan lalu.

Dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama rakan kongsi platform digital,
kempen itu membolehkan orang ramai membeli barangan keperluan harian dalam talian, seperti barangan keperluan dan produk runcit, bahan makanan dan peralatan rumah pada harga yang berpatutan, dan mereka boleh mendapatkan diskaun sehingga 20 peratus atau maksimum RM100 bagi setiap transaksi.

Related Articles

Back to top button