Ronaldo sentuh bola – Fernandes

DOHA: Bruno Fernandes, berkata dia menyangka Cristiano Ronaldo yang menjaringkan gol pembukaan Portugal ketika menewaskan Uruguay 2-0, awal pagi tadi biarpun jaringan itu diberikan kepada dirinya.
Hantaran lintang pemain tengah Manchester United itu ke arah Ronaldo terus menerjah gawang lawan tetapi penyerang veteran itu dilihat ada melakukan sentuhan dengan bola.
Fernandes kemudiannya meledak gol kedua menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Uruguay selain dia dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan Portugal mara ke pusingan 16 terakhir di Qatar.
“Saya meraikannya dengan menyangka ia adalah gol Cristiano, daripada pandangan saya, dia telah menyentuh bola, matlamat saya adalah untuk melakukan hantaran untuknya,” kata Fernandes.
“Apa yang penting adalah kami dapat mara ke pusingan seterusnya dan (menjamin) kemenangan yang sangat penting menentang lawan yang sangat sukar.”
Fernandes memberi amaran bahawa Portugal perlu berada pada tahap terbaik mereka pada aksi terakhir Kumpulan H menentang Korea Selatan bagi menjamin kedudukan teratas kumpulan.
“Kami tahu kami akan berdepan pasukan yang sangat tersusun dengan kemahiran yang tinggi seperti yang kami lihat dalam perlawanan terakhir mereka.
“Kami bermain pada masa yang berbeza dan itu membolehkan kami menonton permainan Korea Selatan. Objektif kami adalah untuk memenangi setiap perlawanan, dan kami mempunyai satu baki satu lagi perlawanan,” tambah Fernandes.



