Berita

Buli siber: Kementerian Komunikasi teliti keperluan gubal undang-undang baharu

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan meneliti keperluan penggubalan undang-undang baharu berkaitan buli siber yang sesuai dengan keperluan semasa.

Selain membuat penambahbaikan aspek perundangan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata ini termasuk perbincangan rentas kementerian bagi memperketat undang-undang berkaitan buli siber.

Menurutnya, undang-undang sedia ada bukan saja perlu diperketat dari segi takrifan buli siber, tetapi merangkumi aspek denda atau hukuman yang wajar dikenakan.

“Kementerian Komunikasi bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dalam usaha menangani buli siber.

“Dua mesyuarat diadakan 10 Julai dan juga semalam dengan semua kementerian ini termasuk wakil Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan hasil mesyuarat ini akan dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Penggubalan undang-undang baharu itu juga berkaitan kematian mangsa buli siber, pempengaruh, Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha kerana membunuh diri, supaya undang-undang baharu berkaitan itu digubal.

Fahmi berkata, pada masa ini, Seksyen 503 dan 509 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dan perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang, antara peruntukan sedia ada yang boleh diguna-pakai, bagi menangani kesalahan berkaitan dengan buli siber bergantung kepada bentuk buli yang dilakukan.

“Selain itu, peruntukan yang turut boleh digunakan bagi kesalahan berkaitan buli ialah ialah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

“Justeru, mesyuarat semalam bertujuan membincangkan keperluan mengkaji keperluan untuk menggubal undang-undang baharu untuk memenuhi keperluan semasa dan juga kita melihat perubahan dalam cara orang berkomunikasi pada masa hadapan mungkin berbeza,” katanya.

SUMBER : BERITA HARIAN

Related Articles

Back to top button