Berita

Budak mangsa keropok beracun meninggal dunia, seorang lagi masih dirawat

KULIM – Seorang daripada dua beradik yang berada dalam keadaan kritikal selepas memakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini, Ahad lalu, meninggal dunia hari ini.

Muhammad Akil Syauqi, 3, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), manakala adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, masih dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi, berkata kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi. – SUMBER : New Straits Times

Dalam kejadian Ahad lalu, dua beradik lelaki itu kritikal selepas memakan makanan ringan berupa keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi.

Klik disini untuk membaca artikel penuh.

Makanan ringan itu didakwa digantung pada pagar dawai dipasang oleh pemilik kebun, dipercayai untuk tujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman. Difahamkan, lokasi kejadian itu terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

Ibu mangsa, Nurain Hasnorizal, 25, yang mendapati dua anaknya itu muntah dan menggelupur seperti diserang sawan kemudian membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Dua beradik itu kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang selepas keadaan mereka semakin kritikal.

Sebelum ini, Mohd Azizul dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Nurain ketika dihubungi turut mengesahkan pemergian Muhammad Akil yang juga anak sulungnya.

“Abang (Muhammad Akil) sudah tiada (meninggal dunia) ketika menerima rawatan. Urusan bedah siasat akan dijalankan, dan jenazah dijangka dibawa pulang ke Kampung Banggol Berangan, Labu Besar di sini, untuk dikebumikan,”

ujar Nurain Hasnorizal, ibu kepada mangsa.

Innalillah. Al-fatihah. Sama-sama kita terus doakan ibu dan anaknya kuat.

SUMBER : BERITA HARIAN

Related Articles

Back to top button